Mokhzani Ismail bercakap pada sidang media Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO AZIAH AZMEE
Mokhzani Ismail bercakap pada sidang media Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Lagu Hasrat nyanyian dan ciptaan Amir Jahari layak diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) kerana ia lagu 'major' yang memiliki sesuatu dalam garapan melodinya.

Ketua juri AJL38, Datuk Mokhzani Ismail berkata, Hasrat juga berada di satu tahap lebih tinggi daripada lagu lain.

"Mencipta lagu 'major' sangat sukar. Kalau sebelum ini, kita ada beberapa lagu 'major' contohnya lagu Yuna. Malam ini, Hasrat adalah satu ciptaan lagu 'major' yang berkualiti. Kita dapat rasakan sesuatu.

"Bukan bermakna lagu lain tak bagus. Tapi, Hasrat berada di satu tahap yang lebih tinggi daripada lagu lain. Lagu itu senang dinyanyikan, 'catchy' dan ada sesuatu dalam garapan melodinya.

"Ditambah pula dengan iringan orkestra pada malam ini, ia menjadi lebih baik. Jadi, kesemua juri bersepakat dan setuju untuk menempatkannya di posisi juara," katanya dalam sidang media selepas AJL38 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Mokhzani berkata, hanya ada perbezaan tipis antara markah yang diberikan kepada Hasrat dan lagu di tempat kedua iaitu Sutera nyanyian Aisha Retno.

"Markahnya tak jauh beza dengan Sutera yang datang dengan dimensi muzik baharu iaitu EDM, yang mana memberi suntikan baharu.

"Untuk lagu Jangan Mati Rasa Itu pula,tentunya Aina Abdul datang dengan pakej hebat. Tapi, dia berada di kedudukan sedikit bawah dari dua lagu tadi. Kami semua yakin dengan keputusan ini," katanya.

Selain Mokhzani, kerusi juri turut diisi oleh barisan juri profesional iaitu Datuk Wah Idris, Datuk Acis, Azlan Abu Hassan, Jari, LY, Noryn Aziz, Ad Samad, Edry Arwis dan Adlin Aman Ramli.

Semalam, Hasrat ciptaan sepenuhnya Amir diumumkan sebagai juara AJL38 menewaskan 11 lagu lain yang bertanding.

Hasrat yang turut menjadi runut bunyi filem Imaginur menjadi rezeki besar buat Amir apabila dia berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 10:46 AM