PERSEMBAHAN Aina dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik di AJL38.
PERSEMBAHAN Aina dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik di AJL38.
Syafil Syazwan Jefri


Perang konsep!

Itulah gambaran situasi yang berlaku di 'medan pertempuran' Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu di mana semua finalis mengerahkan 'tentera' masing-masing untuk mengeluarkan idea konsep persembahan yang luar biasa!

Jika diamati, situasi itu mengimbau kenangan ketika AJL era 2000-an di mana deretan finalis tampil dengan pelbagai konsep berskala besar.

Sebut saja persembahan daripada bintang-bintang hebat seperti Noraniza Idris, Faizal Tahir, Datuk M Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mas Idayu dan ramai lagi. Semuanya tampil dengan konsep yang mampu membuatkan penonton tercengang.

'Perang konsep' di AJL38 bermula dengan persembahan pembukaan bertemakan kuasa wanita, menampilkan Shila Amzah, Sissy Imann, Vanessa Reynauld dan Girl Band.

Persembahan itu menyaksikan lontaran vokal menerusi tiga lagu iaitu Sky Full of Stars nyanyian asal Coldplay, Hilang Naluri (Once Mekel) dan Jangan Khianati Aku (Azlan). Tidak sekadar persembahan biasa, ia umpama satu 'battle' di medan perang.

Persembahan pembukaan itu saja sudah berjaya menggamatkan Axiata Arena umpama meletakkan penanda aras untuk finalis yang bertanding memberikan yang terbaik.

Persembahan finalis pertama, Shiha Zikir menerusi lagu Kalam berjaya membuka mata banyak pihak akan

kemampuan sebenar Shiha.

Mencuri perhatian adalah koreografi mantap Shiha yang juga dikenali dengan kemampuan sebagai penari. Tidak mudah untuk seorang penyanyi, menyampaikan lirik mengikut melodi sambil menari dengan tarian hebat!

Umpama persembahan juara, Shiha menutup persembahan lagu ciptaan Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat dengan 'hujan' konfeti emas yang memenuhi segenap ruang acara.

Persembahan yang dinanti-nantikan seterusnya adalah lagu Waktu nyanyian Hasif Upin dan Ziana Zain yang menawarkan pengalaman berbeza buat peminat Ziana terutamanya.

Kewujudan jam gergasi yang menjadi prop utama dalam persembahannya menarik perhatian penonton di samping menjadi simbolik untuk jalan cerita dalam lagu ciptaan Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat itu.

Persembahan Aisha Retno juga menjadi antara persembahan yang dinantikan oleh penonton. Tidak mengecewakan!

AMIR Jahari bergelar juara menerusi lagu Hasrat.
AMIR Jahari bergelar juara menerusi lagu Hasrat.

Bahkan, persembahan lagu Sutera ini lebih dari jangkaan! Vokal, susunan muzik, koreografi, kejutan, semuanya lengkap dan Aisha juga enggan mengalah dengan persembahan 'biasa-biasa'.

Berjaya membuatkan hampir separuh ruang arena berdiri memberi penghormatan adalah apabila Aisha berani 'terbang' tinggi sehingga ke pucuk atap Axiata Arena sebelum 'hilang' dalam kegelapan.

Teriaklah! Itulah juga yang dilontarkan ribuan penonton mengiringi persembahan Amir Jahari menerusi lagu Hasrat.

Lantunan vokalnya begitu menenangkan dengan petikan gitar yang dimainkan sendiri. Konsep persembahannya membawa keinsafan jika diamati dengan mendalam.

Tambah menarik adalah kemunculan dua teraju utama filem Imaginur, Diana Danielle dan Beto Kusyairy memandangkan lagu Hasrat ini menjadi runut bunyi untuk filem itu.

Konsep persembahan seterusnya yang 'berperang' adalah tatkala Aina Abdul menjadi 'pokok' kerana ia akan menjadi persembahan diingati sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun akan datang.

Mana tidaknya, persembahan lagu Jangan Mati Rasa Itu menterjemah konsep musim luruh dengan props hutan musim luruh yang bergerak umpama penari tanpa manusia.

Bagi penonton barisan hadapan yang berada di stadium, mungkin mereka berpeluang menghidu aroma wangian bertemakan musim luruh yang dikeluarkan oleh set Aina.

Simboliknya, hutan musim luruh itu mampu memberi pelbagai interpretasi dan emosi buat setiap yang menonton. Enggan mengalah, Aina juga dijulang menggunakan kabel sekali gus 'mendedahkan' sebahagian akar yang menjadi perincian busananya.

Persembahan lain di AJL38 mungkin memiliki kekuatan dan keunikan tersendiri, namun tidak dapat menandingi 'perang konsep' persembahan-persembahan ini.

Kejuaraan akhirnya diumumkan menjadi milik Amir sepenuhnya apabila lagu Hasrat memiliki kriteria dan berjaya menyentuh hati barisan juri profesional yang diketuai Datuk Mokhzani Ismail.

Yang pasti, AJL38 mungkin boleh menjadi penanda aras untuk edisi seterusnya di mana, konsep persembahan akan kembali meriah dan menjadi elemen persaingan buat finalis yang bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 6:00 AM