Aisha Retno membuat persembahan lagu Sutera pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Aisha Retno membuat persembahan lagu Sutera pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Aisha Retno, 24, berdepan serangan panik selepas selesai bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung, malam tadi.

Aisha yang juga pemenang tempat kedua AJL38 menerusi lagu Sutera berkata, serangan panik itu berlaku mungkin kerana dia kepenatan memandangkan proses persiapan yang panjang.

"Kita tak tahu apa yang berlaku kepada tubuh badan kita. Mungkin juga saya kepenatan. Jadi, bila Allah cakap sesuatu akan berlaku, ia akan berlaku," katanya yang juga pencipta lagu itu bersama MFMF.

Aisha turut berkongsi rasa bangga kerana dapat berada sebaris dengan dua idolanya iaitu Amir Jahari dan Aina Abdul.

"Amir dan Aina adalah idola saya. Saya bangga dapat berada bersama mereka. Ini kali pertama saya berada di AJL dan akhirnya menyandang gelaran naib juara.

"Kalau ada rezeki lagi selepas ini, saya nak sertai AJL lagi di edisi seterusnya," katanya.

Memberikan persembahan luar biasa, Aisha melakukan aksi 'terbang' menggunakan kabel ketika menutup persembahan lagu Sutera di pentas AJL38 itu.

"Saya suka tempat tinggi, tapi tak suka dengan kelajuan. Apabila dimaklumkan oleh pasukan produksi bahawa mereka akan 'tarik' saya sampai 'hilang' (tinggi dari sudut kamera), saya cakap jangan tarik laju-laju," katanya.

Sebagai naib juara, Aisha membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:59 AM