Azhan Rani menyampaikan bercakap kepada media selepas majlis Flag-off Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan Everest Base Camp bersama Azhan Rani 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto SADIQ SANI
Azhan Rani menyampaikan bercakap kepada media selepas majlis Flag-off Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan Everest Base Camp bersama Azhan Rani 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto SADIQ SANI
Norhayati Nordin


Sepang: Pelakon Azhan Rani, 48, menyifatkan pembabitannya dalam aktiviti mendaki gunung sebagai ganjaran (reward) kepada diri sendiri seterusnya keluar daripada zon selesa dan membuang segala tekanan kerja dihadapi dalam karier.

Azhan berkata, sebagai pelakon yang selalu sibuk di set penggambaran membuatkan dia sangat perlu ruang untuk dirinya 'healing' dalam setahun bekerja berikutan jadual tidak terurus dan kerja tidak tentu masa.

"Sebelum ini, aktiviti sukan saya adalah berbasikal secara solo atau membabitkan lima orang dalam satu kumpulan, termasuk bermotosikal yang dulu saya ada motosikal besar dan sekarang dah tak ada.

"Jadi, kini fokus saya pada mendaki sebab ia beri ruang untuk saya 'release' (lepaskan) diri keluar bergaul dengan orang yang bukan dalam karier seni serta berbicara mengenai perkara lain dan ia buat saya rasa lebih segar untuk mulakan projek kerja baharu nanti," katanya.

Menurutnya, sebagai pendaki gunung bukan profesional sebenarnya amat mencabar, termasuk kurang latihan kerana sibuk dengan kerja, namun menyerahkan pada semangat dan doa ramai orang ke atas dirinya.

"Saya akan berada di sana Nepal selama 18 hari untuk menjayakan misi mendaki ke Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter atau 20,210 kaki dari aras laut bersama empat lagi pendaki lain. Malah, ini pendakian tempat sejuk ketiga saya di luar negara.

"Kali pertama, saya berjaya mendaki Everest Base Camp (EBC) pada 2016, kedua Gunung Halasan di Pulau Jeju Korea untuk latihan bagi ekspedisi pendakian ini dan ketiga pastinya Gunung Island Peak. Semoga kami berjaya," katanya teruja berpuasa di atas gunung.

Terdahulu, Azhan ditemui pada majlis 'flag off' kesemua pendaki dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad jam 1.30 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Pelakon drama Nur itu adalah antara 13 orang pendaki yang menggalas cabaran mengibarkan Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal menerusi program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan EBC Bersama Azhan Rani 2024.

Kesemua pendaki dalam program amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu difahamkan berada di Nepal sehingga 13 Mac depan dengan lapan pendaki lainnya melengkapkan misi pendakian mereka ke EBC.

Hadir sama pada majlis itu ialah ketua pendaki berpengalaman juga ketua ekspidisi iaitu Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan barisan penaja yang terbabit dalam merealisasikan misi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 4:50 PM