Azhan Rani ketika mendaki Gunung Kinabalu, baru-baru ini.
Azhan Rani ketika mendaki Gunung Kinabalu, baru-baru ini.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Pelakon, Azhan Rani, 47, tidak bersetuju dengan tanggapan segelintir pihak mengenai aktiviti pendakian ekstrim seperti menawan puncak Gunung Everest sebagai perbuatan sia-sia dan mengancam nyawa termasuk tragedi yang menimpa pendaki negara pada Mei lalu.

Azhan yang aktif dengan aktiviti mendaki gunung berkata, untuk menyertai aktiviti ini perlu ada ilmu mendaki dan jika tiada perlu mendapat bimbingan dengan cara yang betul.

"Nak daki gunung kena ada ilmu. Bukan buat secara melulu dan membabi buta kerana setiap aktiviti sukan ekstrim ada risikonya," katanya.

Menurut Azhan, mendaki gunung adalah hobinya untuk mengisi masa terluang sejak dulu.

"Setiap orang ada niat tersendiri bila pergi mendaki. Saya pula mengisi masa dengan aktiviti pendakian bila kurang menerima tawaran berlakon. Nak kata aktiviti mendaki tak penat, tipulah," katanya.

Ditanya pengalaman mencemaskan ketika mengikuti aktiviti itu, dia mendapat serangan 'acute mountain sickness' (AMS) ketika mendaki Gunung Kinabalu, baru-baru ini.

Katanya, dia hampir gagal sampai ke puncak kerana serangan AMS itu walaupun sudah menawan gunung itu sebanyak tiga kali.

"Saya mengalami muntah-muntah, tangan kebas, tidak boleh berjalan serta mula berhalusinasi. Namun dengan bantuan rakan-rakan, saya dapat teruskan perjalanan dan keadaan badan okay semula bila kita turun ke altitud lebih rendah," katanya.

Namun, dia tidak serik untuk meneruskan aktiviti mendaki.

Terbaru, dia sibuk membuat persediaan untuk ekspedisi mendaki Island Peak di Nepal pada Februari tahun depan.

"Saya akan pastikan stamina dan badan cergas serta cukup latihan untuk ekspedisi itu. Sebelum ini saya tidak dapat menjalani latihan kerana komitmen pada bidang lakonan dan menjaga ibu yang kurang sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 1:43 PM