ANTARA laluan mencabar Doris menuju ke Kem 3 ketika ke puncak Amadablam.
ANTARA laluan mencabar Doris menuju ke Kem 3 ketika ke puncak Amadablam.
Hafiz Ithnin


USIA sudah mencecah lebih 50 tahun, namun kudrat ketiga-tiga wanita ini dalam aktiviti pendakian tidak boleh dipandang enteng kerana semuanya berpengalaman mendaki lebih 5,000 meter (m).

Malah, seorang daripada mereka memegang rekod sebagai wanita pertama Malaysia menawan Gunung Amadablam, 6,812 m di Nepal pada usia 50 tahun.

Wanita itu ialah Doris Jeterin Sitaun, 52, Rosmani Ahmad yang hanya ingin meletakkan usia sudah lebih 50-an dan Norshamsiah Abdul Latiff, 53, mempunyai kisah tersendiri.

Doris Jeterin

Bagi anak kelahiran Sabah ini, mendaki Gunung Kinabalu berketinggian 4,905 m ibarat padang permainan baginya kerana sejak berusia 13 tahun lagi boleh dikatakan sebulan pasti sekali dia mendaki dan menawan puncaknya dalam masa tujuh jam dan ia bukan perkara asing baginya.

Apabila ditanya jumlah pendakian ke gunung itu, jawapannya ringkas.

"Saya tidak pernah kira!," ujar pendaki wanita pertama Malaysia menawan Gunung Amadablam seperti direkodkan di dalam Data Himalaya pada 2018.

Pendakian Gunung Amadablam amat dikenali dalam kalangan pendaki antarabangsa sebagai antara puncak yang sukar kerana memerlukan kemahiran teknikal, berada di sekitar pergunungan selama 28 hari dan kemampuan pengawalan pernafasan yang tinggi bagi mengelakkan serangan akut gunung (AMS).

Bagi wanita berketurunan Kadazan Dusun itu, usia bukan penghalang buatnya mendaki gunung secara ekstrem kerana ia sudah sebati dalam jiwa. Malah turut bercita-cita untuk menawan Gunung Everest jika mempunyai tajaan.

Doris berkata, antara puncak di Banjaran Himalaya yang sudah ditawannya ialah Gunung Lobuche (4,940m), Island Peak (6,189m) dan enam kali menjejakkan kaki ke Kem Induk Everest (EBC) setinggi 5,150 m.

"Mendaki ke Banjaran Himalaya bermula pada 2012 ketika itu saya ingin menguji kemampuan diri untuk mendaki ke kawasan altitut tinggi iaitu di EBC. Ternyata pendakian itu menjadi permulaan saya untuk menawan puncak gunung lain di sekitarnya.

"Menariknya mendaki gunung ini adalah dapat mempraktikkan gaya hidup sihat kerana kita perlu sentiasa memastikan stamina dalam keadaan baik dan paling utama dapat melihat keindahan alam semula jadi dari paras mata yang tinggi," katanya.

Isteri kepada Jeffery Lawrence Maidin itu turut berkata, dari segi pemakanan tidak ada petua khusus untuk kekal cergas kerana baginya makanan seperti nasi dan sayur-sayuran segar sudah cukup.

"Apabila mendaki saya akan pastikan diri dalam keadaan sihat dan bersedia dari segi mental dan fizikal. Disebabkan itu, latihan pendakian perlu ada bagi terutama mengawal pernafasan.

"Saya juga mendapat dorongan daripada ahli keluarga terutama suami dan anak-anak yang sentiasa memberikan kata-kata positif setiap kali memberitahu hasrat untuk mendaki ke gunung tidak kira ke gunung setempat mahu pun beraltitut tinggi," kata ibu kepada Mcallen Jeffery, 26, Maya Magdeline, 24, dan Myra Geraldine, 21,itu,

Ditanya mengenai cita-cita ke Everest, Doris berkata, dia masih menantikan ada pihak yang sudi menajanya ke puncak itu memandangkan ia mempunyai belanja yang cukup besar.

"Bagi saya status jantina dan usia bukan menjadi penghalang untuk melakukan aktiviti mendaki ke gunung ekstrim. Paling penting, percaya kepada diri sendiri dan berusaha," katanya.

ROSMANI sudah beberapa kali menawan EBC.
ROSMANI sudah beberapa kali menawan EBC.

Rosmani Ahmad

"Saya mula jatuh cinta kepada aktiviti pendakian ekstrim pada usia hampir 50 tahun. Suami dan anak-anak sentiasa positif. Saya hanya suri rumah," kata Rosmani yang pernah mendaki bukan sahaja di Banjaran Himalaya malah satu gunung daripada tujuh puncak tertinggi benua dunia sudah ditawannya.

Antara pencapaian peribadinya selepas berusia 50 tahun ialah di Nepal menawan Gunung Mera Peak (6,476m), Island Peak (6,189m) dan laluan rentas pergunungan, Chola Pass (5,420m) serta EBC sebanyak empat kali.

Dua daripada tujuh puncak tertinggi benua dunia sudah ditawannya, Gunung Kilimanjaro (5,895m) di Afrika sebanyak dua kali. Malah, percubaan ke Gunung Elbrus di Rusia juga berada di dalam diari pengalamannya.

Tidak sekadar itu, wanita yang sudah bercucu itu juga mendaki dengan hanya ditemani pemandu arah bukan menjadi perkara asing seperti pendakian ke Gunung Rinjani dan Island Peak.

Rosmani berkata, mendaki gunung beraltitut tinggi dapat memberi ketenangan dan pengalaman 'melancong' dengan cara tersendiri serta melihat ia satu amalan yang dapat menjadikan dia dekat dengan maha pencipta.

"Jika melakukan aktiviti mendaki ke gunung beraltitut tinggi, saya dapat melihat panorama gunung yang amat cantik di sekelilingnya dan paling penting mendekati masyarakat setempat luar bandar yang lebih jujur," katanya.

Rosmani berkata, bagi mengekalkan stamina, selepas selesai menunaikan solat subuh sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dia akan menerokai laluan denai berhampiran tempat tinggalnya.

"Saya bersyukur kerana suami dan anak-anak amat memahami minat saya di dalam aktiviti ini. Malah suami juga memberikan kebebasan untuk saya mendaki kerana baginya sudah tiba masa untuk saya mencari ketenangan mengembara dengan cara tersendiri.

"Malah, anak-anak juga menjadi pembakar semangat. Pernah suatu ketika saya mendaki ke Island Peak hampir berpatah balik tetapi terngiang-ngiang suara anak katakan 'mama boleh buat!' terus memberi motivasi walaupun keadaan ketika itu agak mencabar," katanya.

NORSHAMSIAH (kanan) ketika pendakian ke Throng La Pass, Nepal.
NORSHAMSIAH (kanan) ketika pendakian ke Throng La Pass, Nepal.

Norshamsiah

"Pernah juga rakan-rakan tanyakan kenapa tidak memilih bercuti di Maldives umpamanya sambil duduk tepi pantai berehat-rehat, gunung yang susah juga menjadi pilihan. Tapi itulah saya memang jenis tidak boleh duduk diam," jelas wanita berusia 53 tahun ini.

Norshamsiah yang aktif mendaki gunung sejak kira-kira lapan tahun lalu mengakui mendaki gunung menjadi terapi dan kepuasan kepada dirinya walaupun mula menerokai aktiviti itu pada usia yang agak lewat.

Gunung Kilimanjaro di Afrika, percubaan ke puncak Gunung Elbrus di Rusia, pendakian ke kem induk Gunung Annapurna (ABC) di Nepal, Gunung Singuniang (6,250m) dan Gunung Kinabalu antara yang pernah ditawannya.

Norshamsiah berkata, dia melihat aktiviti mendaki gunung sebagai satu terapi diri yang bukan sahaja dapat mendidik untuk menjalani gaya hidup sihat tetapi ketika mendaki dapat bermunasabah diri.

"Biasanya apabila saya hendak mendaki pastinya kekuatan fizikal dan mental perlu mempunyai ketahanan. Jadi, saya berlatih dengan berkayuh basikal jarak jauh sekitar 50 hingga 100 kilometer sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

"Apabila mengayuh basikal kita dapat menguatkan fizikal dan mengawal pernafasan lebih baik. Selain itu, dari segi pemakanan saya suka masak sendiri di rumah kerana lebih mudah mengawal khasiatnya," kata isteri kepada Mohamad Helmy Othman Basha itu.

Ibu kepada pasangan kembar Adam dan Aleisha masing-masing berusia 22 tahun itu juga merasakan sebagai individu yang sudah memasuki usia 50-an adalah waktu terbaik untuk mencari aktiviti yang mampu menguatkan fizikal dan tidak hanya terperap di rumah atau menjaga cucu sahaja.

"Saya memang seorang yang tidak boleh duduk diam. Apabila mengembara dengan mendaki ke kawasan pergunungan ia dapat memberi ketenangan tersendiri. Walaupun dalam kumpulan saya paling berusia tetapi ahli yang lain sangat menyokong antara satu sama lain.

"Semangat berpasukan dan sentiasa positif serta paling penting apabila mendaki saya tidak berjumpa dengan orang ramai yang terlalu sesak kerana saya memang tidak suka 'beriadah' dalam keadaan yang sesak," katanya.

Dia juga berkata, dalam aktiviti mendaki gunung beraltitut tinggi usia bukan penghalang tetapi usaha dan mendidik minda yang positif menjadi kunci utamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 7:00 AM