HASRAT Azhan tawan puncak Gunung Island Peak tidak kesampaian akibat angin kencang, suhu terlalu sejuk.
HASRAT Azhan tawan puncak Gunung Island Peak tidak kesampaian akibat angin kencang, suhu terlalu sejuk.
Norhayati Nordin

TERPEGUN melihat kecantikan Gunung Kinabalu menjadi pembuka minat pelakon berkaliber tanah air, Azhan Rani, 48, terhadap aktiviti mendaki gunung yang mula disertainya sejak 2013.

Malah, pengalaman pertama mendaki di luar negara iaitu Gunung Rinjani, Indonesia pada tahun itu diakui antara kenangan terindah di awal pembabitan sebagai pendaki gunung.

Pada 25 Februari lalu, Azhan bersama 12 lagi pendaki lain ke Nepal dengan membawa harapan besar untuk menawan puncak Gunung Island Peak dan Everest Base Camp (EBC) di Banjaran Himalaya itu.

Namun, faktor cuaca menjadi halangan untuk Azhan dan empat rakan pendaki lain iaitu Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, Azmi Mohd Ariffin, Khalid Abd Hanid dan Zarina Abd Rahman terpaksa berpatah balik meskipun mereka sudah berada di ketinggian 5,600 meter dari aras laut.

TIDAK patah semangat untuk mencuba lagi.
TIDAK patah semangat untuk mencuba lagi.

Azhan berkata, ada juga perasaan sedih dan kecewa dalam dirinya apabila misi ingin menawan puncak Gunung Island Peak tidak kesampaian kerana angin kencang dan suhu yang terlalu sejuk mencecah negatif 25 darjah Celsius.

"Apa pun, saya bukan pendaki gunung profesional. Jadi, saya tidak pernah memaksa diri mendapatkan puncak sebagai tanda kejayaan menawan sesebuah gunung, meskipun 'puncak' menjadi harapan utama yang diimpikan setiap pendaki.

"Bagi saya, sampai ke puncak gunung adalah bonus saja. Tetapi, pulang dengan selamat itu adalah kepastian yang saya perlu dapatkan. Itu adalah titik kejayaan yang sebenarnya," katanya yang tidak patah semangat untuk mencuba lagi.

Menurut Azhan, dia juga tidak melihat impian tak kesampaian untuk menawan puncak Gunung Island Peak sebagai gagal kerana tujuan pendakian itu pastinya berpandu atas sebab tersendiri masing-masing.

Pada 2019, Azhan berjaya menawan Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut bagi mengibarkan bendera Jalur Gemilang bersama kumpulan pendaki Summit Attack Resources (SAR).

AZHAN bersama empat rakan pendaki.
AZHAN bersama empat rakan pendaki.

Begitu juga di bawah selian SAR, dia berjaya menawan puncak Gunung Halasan yang bersalji di Pulau Jeju Korea ketika membuat latihan bagi melakukan ekspedisi pendakiannya ke Gunung Island Peak itu.

Berada selama 18 hari di sana dan pulang ke tanah air pada 13 Mac lalu, Azhan bersama kumpulan pendaki SAR membawa misi mengutip dana membantu Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan autisme.

Gunung Island Peak yang mempunyai ketinggian 6,160 meter atau 20,210 kaki dari aras laut itu difahamkan memiliki laluan sangat mencabar untuk ke puncaknya dan faktor keselamatan pendaki amat diutamakan.

Bagaimanapun, ekspidisi ke EBC yang dijayakan oleh lapan pendaki lain dalam misi sama, hanya lima orang dapat menjejakkan kaki di situ dengan paras ketinggian iaitu 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.

Sempena Ramadan ini, Azhan muncul dengan drama Khunsa arahan Shahrulezad Mohameddin yang disiarkan Astro dari Isnin hingga Khamis, jam 9 malam. Selain itu, dia juga membintangi filem Korsakoff bersama Erra Fazira, Ning Baizura, Iqram Dinzly dan Elly Arifin kini ditayangkan di Astro First.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 6:30 AM