Nor Hisham Mohamad menyampaikan ucapan kepada para-para pendaki. FOTO SADIQ SANI
Nor Hisham Mohamad menyampaikan ucapan kepada para-para pendaki. FOTO SADIQ SANI
Norhayati Nordin

 

Sepang:  Seramai 13 pendaki, termasuk pelakon Azhan Rani, 48, akan terbang ke Nepal malam ini bagi menjayakan misi ekspedisi program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan EBC Bersama Azhan Rani 2024 sehingga 13 Mac depan.

Ketua ekspedisi itu yang juga ketua pendaki berpengalaman serta Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, berkata dia bersama empat pendaki lain termasuk Azhan akan menawan Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter.

"Manakala, lapan pendaki lain yang turut serta dalam program amal ini akan menjayakan misi mereka untuk menawan Everest Base Camp (EBC) dengan harapan kami semua agar dapat bersama-sama mengibarkan bendera Jalur Gemilang di sana.

"Saya teruja untuk kami berlima cuba merealisasikan impian misi pendakian Gunung Island Peak itu sebab ketinggian yang tinggi dan sangat mencabar kerana memerlukan pendakian teknikal di gunung bersalji. Apapun, kami akan cuba yang terbaik.

"Mohon doakan keselamatan kami semua dan berjaya, apatah lagi misi ini untuk program amal bagi mengutip dana membantu rumah kebajikan, Persatuan Ahsana Kuala Lumpur yang dianjurkan Summit Attack Resources (SAR)," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur impian pendakian ini dapat direalisasikan juga memandangkan penularan Covid-19 pada 2020 lalu menyebabkan SAR dikendalikannya terpaksa manangguhkan beberapa aktiviti pendakian gunung yang sudah lama dirancang.

Terdahulu, Mohd Fakhrul Munir ditemui pada majlis 'flag off' kesemua pendaki yang dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad pada jam 1.30 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, beliau berasa bangga dengan pencapaian pegawainya, Mohd Fakhrul Munir yang sudah lama aktif mendaki gunung, seterusnya berjaya menganjurkan pendakian sehingga ke luar negara menerusi SAR ditubuhkannya.

Saya tidak sangka dia (Mohd Fakhrul Munir) sudah berjaya membawa nama SAR hingga ke tahap ini. Dulu, saya ingatkan mungkin aktiviti pendakian anjuran SAR hanya dalam Malaysia saja, namun sekarang sampai ke peringkat luar negara di Gunung Everest.

"Malah, dia juga berjaya membawa Azhan Rani untuk terbabit sama dan saya difahamkan ini kali keempat atau kelima 'ustaz Madi' kita menyertai SAR dalam program misi ekspidisi pendakian gunung ini," katanya.

Beliau berkata, tindakan SAR mengadakan misi ekspidisi pendakian ke EBC dan Gunung Island Peak itu lebih bermakna apabila membabitkan program amal membantu mengutip dana untuk rumah kebajikan Ahsana.

Selain barisan pendaki, hadir sama pada majlis 'flag off' itu ialah Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit serta beberapa penaja yang terbabit dalam merealisasikan misi pendakian amal yang istimewa  itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 6:50 PM