Hafiz Hamidun
Hafiz Hamidun
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Biarpun melalui pelbagai episod hitam dalam percintaan, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun tidak trauma untuk meneruskan pencarian pasangan hidup. 

Apatah lagi, usianya juga semakin meningkat dan dia bersedia untuk mengakhiri zaman dudanya sekiranya bertemu dengan wanita yang menepati kriteria pilihan.

"Buat masa ini belum ada calon lagi. Jika ada pasti saya tidak berahsia mengenainya.

"Apatah lagi, anak saya juga sudah semakin besar dan memerlukan belaian seorang ibu. Mujur ada ibu bapa yang membantu saya mengendalikan anak saya yang semakin cergas dan sedang membesar.

"Kali terakhir saya mengenali wanita dari negara seberang juga berakhir dengan kisah duka apabila wanita itu meninggal dunia akibat virus Covid-19," katanya.

Hafiz mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis pengumuman Konsert Zikir Dikir yang  bakal berlangsung pada 3 Mei depan di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Ditanya mengenai pemilihan lokasi di Terengganu, Hafiz menjelaskan pada mulanya mereka merancang mengadakan konsert itu di Kelantan, tetapi atas faktor masa dan tempat, dia memilih mengadakan di negeri itu.

Malah dia mengakui tidak bimbang dengan sambutan penonton kerana optimis, konsert itu mampu menarik penonton dari negeri berhampiran iaitu Kelantan serta Pahang.

Selain itu, harga tiket yang dijual berpatutan bermula dari RM58 sehingga RM258.

"Konsert ini bukan untuk kaut keuntungan semata-mata. Saya rasa tak perlu untuk dijual pada harga yang terlalu mahal walaupun nak anjurkan konsert membabitkan banyak kos iaitu dari sudut logistik, sistem bunyi, penyanyi undangan dan sebagainya.

"Tapi saya taknaklah caj melampau, kalau boleh saya nak lebih ramai dapat nikmati konsert ini. Alhamdulillah kita berjaya jual lebih 200 tiket dalam tempoh singkat sebaik saja jualan tiket dibuka," katanya.

Selain Hafiz dan Halim, konsert itu juga akan turut membabitkan dua tetamu undangan iaitu Aiman Sidek dan Halim Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 5:56 PM