JAYAKAN konsert jelajah dunia sejak September tahun lalu.
JAYAKAN konsert jelajah dunia sejak September tahun lalu.
Susunan Georgie Joseph


Dalam usia semuda 22 tahun, banyak perkara yang boleh dipuji mengenai penyanyi Let It Go, Demi Lovato.

Mula dikenali selepas pembabitannya sebagai penyanyi cilik dalam siri Barney & Friends, transisinya baik dari segi kualiti muzik hinggalah konsep perjuangannya cukup ketara dan semakin berkembang.

Apa yang pasti, vokal hebat yang dimilikinya memang tidak boleh disangkal lagi. Dia yang mula menarik perhatian peminat menerusi lagu Skyscraper kini antara penyanyi wanita muda memiliki kualiti vokal paling hebat.

Bagaimanapun, Demi atau nama sebenarnya Demetria Devonne Lovato bukan saja penghibur berbakat besar, tetapi turut bersih dari sebarang kontroversi sekali gus membuatkan dia lebih dihormati.

Dalam dirinya sudah tertanam satu nilai murni yang belum tentu ada pada artis lain.

Tambahan pula, kisah hidupnya cukup menarik di mana dulu dia pernah menjadi mangsa buli dan kini detik hitam itu dijadikan sebagai senjata perjuangannya.

Demi yang kini sedang menjayakan konsert jelajah dunia sejak September tahun berkata, ia bukan sekadar singgah ke setiap lokasi dan menyudahkan konsertnya, sebaliknya dia ada misi besar iaitu mahu menjadi inspirasi kepada peminatnya.

“Bagi saya, siri konsert jelajah berkenaan bukan setakat memberi hiburan, tetapi saya mahu penonton pulang dengan mesej yang berkesan. Itulah yang saya mahu pastikan menjadi iaitu terus memberi inspirasi kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, dia turut menjemput artis lain turut menjayakan konsertnya seperti Spencer West, Christina Perri, MKTO, Becky G, dan Bea Miller.

Mereka bukan saja membuat persembahan bersama, tetapi turut berkongsi sentuhan istimewa buat peminat.

Tulis jurnal setiap hari

Demi juga amat mementingkan dokumentasi dalam hidup, perjuangan dan apa yang sudah dicapainya.

Justeru, dia tidak ketinggalan menulis dan merekod setiap agenda hariannya dalam sebuah jurnal.

Apatah lagi, dia kini menerbitkan buku tulisannya sendiri berjudul Staying Strong: 365 Days a Year.

“Saya sentiasa membawa jurnal ke mana-mana dan ia ternyata memberi kelebihan kepada saya. Menulis jurnal secara tidak langsung membantu saya untuk sentiasa positif.

“Pada pendapat saya, perkara itu adalah satu daripada cara terbaik untuk melihat refleksi kehidupan. Saya menulis jurnal itu sebagai satu medium untuk menyalurkan inspirasi kepada orang lain juga,” katanya.

Bakal singgah di Australia dan New Zealand bulan ini, nampaknya penyanyi yang pernah berkunjung ke sini pada 2013 bakal menjayakan sebuah konsert besar Kuala Lumpur, Mei ini.

Konsert Demi Lovato Demi World Tour Live In Kuala Lumpur 2015 anjuran AC Music Entertainment berlangsung pada 4 Mei depan di KL Live, Jalan Sultan Ismail. Malaysia menjadi lokasi kedua di Asia selepas Singapura.

Tiket berharga RM388 (VIP), RM188 (CAT 1) dan RM138 (CAT 2) mula dijual dan maklumat mengenai tiket sila layari laman web www.ticketpro.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:02 AM