Norman Hakim
Norman Hakim
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Walaupun berdepan ujian hebat apabila terbongkar kisah perkahwinan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim yang berkahwin secara senyap di Songkhla, Thailand dan memilih menjadi isteri kedua kepada jejaka yang dikaitkan, Aslam pada 27 Disember lalu, namun pelakon Norman Hakim memilih untuk berdiam diri dan enggan mengulas kontroversi itu.

Meninjau ke akaun Instagram miliknya, Norman sebaliknya mengajak pengikut untuk melakukan amalan berzikir bagi mengingati Allah SWT.

Kalimat zikir yang dikongsikan itu pula menghadiahkan ganjaran pahala yang cukup berat dan sangat dicintai oleh Allah.

"Subhanallahil 'Azim (Maha Suci Allah Yang Maha Agung)," kongsinya yang meminta pengikut untuk berzikir sebanyak 1,000 kali.

Harian Metro cuba mendapatkan Norman bagi mendapatkan maklumat dan komen lanjut mengenai kisah tular perkahwinan Marissa bersama Aslam, namun panggilan telefon dan mesej WhatsApp yang dihantar tidak dijawab.

Dalam pada itu, kelibat Marissa yang tidak kelihatan dalam hantaran terbaharu Norman sempena ulang tahun anak lelakinya, Awishz mencetuskan tanda tanya mengenai hubungan mereka ketika ini.

Malah, Marissa juga dikatakan sudah berhenti mengikut akaun media sosial kedua ibu bapanya.

Semalam, Harian Metro mendedahkan anak kepada pasangan selebriti itu sudah mendirikan rumah tangga secara senyap di Songkhla, Thailand pada 27 Disember lalu.

Pendedahan yang dibuat turut disahkan oleh Nadiah Mazlan, kakak kepada isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan hari ini.

Pada September tahun lalu kecoh dalam media sosial apabila Misya tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan Marissa.

Misya menerusi satu hantaran di media sosial mendedahkan Marissa didakwa menjadi penyebab utama dirinya diceraikan suaminya.

Namun, Aslam dan Misya mengambil keputusan untuk rujuk semula ketika dalam tempoh idah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:34 PM