TAMPIL dengan persembahan bertenaga walaupun usia mereka menginjak 60-an.
TAMPIL dengan persembahan bertenaga walaupun usia mereka menginjak 60-an.
Ridzuan Abdul Rahman


Persembahan energetik, sarat aksi dan menghiburkan peminat ditampilkan kumpulan thrash metal legenda dari Jerman, Kreator yang tampil beraksi di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Kreator Strongest of The Strong Live In Malaysia cukup eksklusif apabila penantian lebih 19 tahun peminat untuk menikmati aksi mereka amat berbaloi.

Pelbagai cabaran yang dilalui penganjur, Rockstage Entertainment dengan kerjasama LampuNeon untuk merealisasikan perkara ini terbalas apabila Kreator berjaya menggegarkan Kuala Lumpur.

Kreator yang dianggotai Miland 'Mille' Petrozza (penyanyi, gitar), Jürgen 'Ventor' Reil (dram), Sami Yli-Sirniö (gitar) dan Frédéric Leclercq (bass) keseluruhannya menghasilkan 15 album studio dan mempunyai ribuan peminat pencinta muzik metal di Malaysia.

Kedatangan mereka ke Kuala Lumpur ternyata mencipta satu momen 'goosebumps' dalam kalangan 'metalheads' yang bukan saja dari Malaysia, tetapi juga dari luar negara.

Persembahan bermula tepat jam 8.30 malam apabila Kreator memanaskan pentas dan menyeru peminat untuk membentuk mosh-pit atau 'wall of death' di bahagian baris paling hadapan.

Walaupun hadir dengan muzik yang keras dengan lirik berbaur kekecewaan dan kemarahan, Kreator tetap memenuhi garis panduan ditetapkan dalam persembahan.

MILLE bersama Sami.
MILLE bersama Sami.

VENTOR ‘tukang pukul’ Kreator.
VENTOR ‘tukang pukul’ Kreator.

PEMINAT memenuhi Zepp KL untuk menyaksikan persembahan Kreator.
PEMINAT memenuhi Zepp KL untuk menyaksikan persembahan Kreator.

Seperti kata Mille, 'cool deep cuts setlist!" Kita tetap boleh bergembira dalam pelbagai cara, tidak perlu menjadi ganas atau 'brutal' bagi menikmati muzik keras dan berat ini.

Usia yang hampir menjangkau 60-an langsung tidak membataskan persembahan Mille di atas pentas.

Antara lagu yang dinyanyikan ialah People of The Lie dari album Coma of Souls membawa satu perasaan 'kembali 20 tahun muda' seperti menaiki mesin waktu pulang ke era 1990-an.

Mille ternyata berjaya menyuntik keghairahan peminat apabila berkata, Kreator perlu kembali beraksi di Kuala Lumpur pada masa seterusnya biarpun ini kali ketiga mereka tampil di Malaysia.

Konsert yang berdurasi 90 minit ini menyaksikan Kreator tampil menyampaikan 15 lagu yang bertenaga. Penonton tidak senang duduk dari awal persembahan sehingga lagu terakhir mereka, Tormentor.

Persembahan bertenaga ini turut dibantu oleh permainan cahaya menarik yang melimpahi segala ruang serta sistem audio yang cukup sempurna.

Konsert Kreator Strongest of The Strong Live In Malaysia adalah sebahagian daripada siri jelajah Asia mereka.

Selain Malaysia, Kreator juga akan beraksi di Indonesia, Singapura, Jepun dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:50 AM