Adibah Abdul Mutalib hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, KL bagi kes ubah perintah interim hadanah anak keempatnya iaitu Nur Anissa hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Adibah Abdul Mutalib hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, KL bagi kes ubah perintah interim hadanah anak keempatnya iaitu Nur Anissa hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Bekas madu pelakon, Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib, 51, memfailkan tuntutan ubah perintah interim hadanah (sementara) terhadap anak keempatnya, Nur Anisa Rosland, 13, yang berada di bawah penjagaan bekas suami, Rosland Othman, 51.

Adibah bertindak membuat tuntutan berkenaan terhadap Nur Anisa berikutan remaja itu sendiri meluahkan hasratnya untuk kembali menetap semula bersama ibu dan empat adik-beradik yang lain.

Adibah ketika ditemui berkata, dia akur dengan perintah mahkamah sebelum ini yang mana hak penjagaan interim, Nur Anisa dimiliki bekas suaminya, Rosland, namun apa yang cuba dilakukan sekarang bertitik-tolak daripada permintaan anaknya itu.

"Tujuan saya memfailkan tuntutan ubah interim hadanah untuk Nur Anisa ini disebabkan permintaannya sendiri (Nur Anisa) yang meluahkan kepada saya sejak Januari lalu, di mana dia mahu duduk bersama saya dan bersekolah dekat dengan rumah kami.

"Berkali-kali juga Anisah memberitahu saya mengenai hasratnya itu apabila pulang ke rumah ketika cuti persekolahan. Jadi, sebagai ibu sudah pasti saya inginkan yang terbaik untuk anak terutama kebajikan, keselamatan, kesihatan mental dan emosi stabil.

"Saya tak mahulah anak trauma kerana Nur Anisa ada juga berkongsi pelbagai kejadian hingga dia sendiri yang tidak mahu pulang ke rumah bapanya sejak balik di rumah saya pada cuti persekolahan, 24 Mei lalu," katanya kepada Harian Metro di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Adibah, dia bagaimanapun tidak mendapat kerjasama daripada bekas suaminya apabila Rosland dikatakan membantah ketika perbincangan tertutup bersama Hakim Syarie, Zuraidah Ayob.

Dalam pada itu, Adibah juga memberitahu dia ada membuat laporan polis berhubung keputusan Nur Anissa yang tidak mahu lagi pulang ke rumah bapanya dengan kerelaan hati sendiri

"Saya membuat laporan polis pada 4 Jun lalu apabila Nur Anissa memang sudah tidak mahu pulang ke rumah bapanya, Rosland dan ingin tinggal bersama saya serta adik-beradik yang lain.

"Laporan polis itu dibuat kerana saya tidak mahu didakwa menjadi penghasut kepada Nur Anissa hingga dia tidak mahu balik ke rumah bapanya, sedangkan ia atas kerelaan sendiri ," katanya ditemani tiga anak, Nur Anisa, Nur Liyana, 19, dan Nurin Tasnim, 12.

Sementara itu, Rosland hadir bersama ibu mentuanya, Aisah Abdullah serta diwakili dua peguam, Datuk Seri Amli Embong dan Nurul Balqis Nordin dari Amli & Associates.

Terdahulu, Adibah mendapat hak penjagaan interim untuk dua daripada tiga anaknya selepas Rosland memfailkan tuntutan hadanah pada 24 Mac tahun lalu.

Dua anak iaitu Nur Liyana dan Nurin Tasnim memilih untuk tinggal bersama Adibah, manakala Nur Anissa pula memilih menetap dengan bapanya, Rosland.

Pasangan Rosland dan Adibah sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Ogos, tahun lalu.

Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 12 hingga 27 tahun.

Rosland bagaimanapun berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan dua anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 1:26 PM