Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa (tengah) beramah mesra dengan kanak-kanak pada majlis perasmian Kids Fest 2024 di Taman Wetland. Turut serta Pengarah festival Kids Fest 2024, Datuk Norman Abdul Halim. FOTO ROHANIS SHUKRI
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa (tengah) beramah mesra dengan kanak-kanak pada majlis perasmian Kids Fest 2024 di Taman Wetland. Turut serta Pengarah festival Kids Fest 2024, Datuk Norman Abdul Halim. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


Putrajaya: Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa menggalakkan acara seperti festival kanak-kanak, Kids Fest 2024 untuk terus diadakan sebagai acara tahunan bagi mempromosikan industri animasi tempatan di samping memperkenalkan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai lokasi pelancongan berkelas dunia. Zaliha, ketika ditemui di majlis pelancaran Kids Fest 2024 yakin, acara ini mampu berkembang sehingga ke peringkat Asia Tenggara.

"Tahniah atas inisiatif KRU Arena dan Universal Music Malaysia dalam mempromosikan alam sekitar menerusi kandungan kreatif dan animasi.

"Kejayaan ini mencerminkan usaha pengkarya animasi tempatan untuk membawa animasi tempatan ke peringkat global.

"Saya yakin, festival ini mampu berkembang menjadi festival kanak-kanak terbesar sehingga ke peringkat Asia Tenggara.

"Ia sekali gus menjadikan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai hub animasi Malaysia dan lokasi pelancongan berkelas dunia di samping mempromosikan industri animasi tempatan," katanya.

Zaliha turut menggambarkan kejayaan yang digapai beberapa produk animasi tempatan, meletakkan industri animasi Malaysia setanding dengan produk-produk dari luar negara.

"Pasaran animasi tempatan sedang berkembang pesat dan kejayaan animasi tempatan membuktikan bahawa animasi tempatan bukan sahaja setanding, malah mampu menyaingi animasi dari luar negara.

"Contohnya, baru-baru ini animasi Mechamato mencipta sejarah sebagai animasi pertama luar Jepun yang mencipta nama.

"Filem Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal juga berjaya merangkul anugerah di Kanada. Jadi, ini membuktikan animasi dari negara kita juga tak kurang hebatnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kids Fest 2024, Datuk Norman Abdul Halim berkata, acara ini bukan sekadar hiburan buat kanak-kanak semata-mata, tetapi mempromosikan aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

"Penganjuran Kids Fest 2024 bukan sahaja untuk hiburan semata-mata, tetapi juga bertujuan menimbulkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dan rasa sayang terhadap haiwan.

"Pihak kami berharap, dengan kejayaan penganjuran Kids Fest 2024 di Putrajaya akan membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak bagi penganjuran Kids Fest di serata tanah air mulai Mei 2024," katanya.

Kids Fest 2024 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang bertempat di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya.

Pengunjung turut dihiburkan dengan kehadiran maskot animasi antaranya Zan Orangutan, Anna dan Hanna dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 3:02 PM