SHARIFF (berdiri kiri) bergambar bersama artis 90-an dan maskot rasmi Planet Animasi Terengganu 2019. FOTO Rosela Ismail
SHARIFF (berdiri kiri) bergambar bersama artis 90-an dan maskot rasmi Planet Animasi Terengganu 2019. FOTO Rosela Ismail
Najiy Jefri


SELARAS dengan visi dan misi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) ke arah Pembangunan Usahawan Terengganu, agensi itu menyahut cabaran apabila bekerjasama dengan Pavilion Planet Sdn Bhd dalam menganjurkan Planet Animasi Terengganu 2019 pada 1 November hingga 31 Disember ini di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Acara terbesar yang diadakan bersempena cuti sekolah akhir tahun ini dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020, Planet Animasi Terengganu 2019 turut berkolaborasi dengan PADI Record & Entertainment dan RIZS Management untuk merealisasikan kejayaan acara terbesar di negeri itu.

Pengarah Urusan Pavillion Planet Sdn Bhd, Shariff Yahaya berkata, program itu bertujuan mengetengahkan industri animasi dan kartun hasil kreatif Malaysia kepada masyarakat tempatan.

"Selain menampilkan beberapa maskot animasi tempatan seperti Didi & Friends, Rimba Racer & Rimba Kid, pihak kami juga akan mengadakan permainan interaktif dan pertandingan ‘cosplay’.

"Program ini juga dapat memperkenal dan mempromosikan keunikan serta kehalusan pelbagai kesenian budaya, tradisi dan warisan Terengganu oleh usahawan," katanya.

Menurut Shariff, pihaknya menyasarkan 200,000 pengunjung ke karnival itu yang akan turut mengadakan Karnival Usahawan Terengganu dan pesta makanan.

Katanya, pihaknya juga membuka peluang untuk usahawan berniaga pada pesta itu.

Lebih mengujakan, acara terbabit turut mempersembahkan showcase artis 1990-an yang terdiri daripada Datuk Nash, Ameng Spring, Ukays, Baggio dan Rahmad Mega.

Selain itu, turut berlangsung Persembahan Artis Berhijrah, Road Tour Mini Showcase Allahyarham Saleem, Road Tour Romantika Awie, Tazkirah Tokoh Agama Terengganu, Seni Khat dan Persembahan Cheb Ali, Konsert Ambang Tahun 2020 serta banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 8:16 PM