SEAN bakal mengacarakan program Anugerah Gempak Most Wanted.
SEAN bakal mengacarakan program Anugerah Gempak Most Wanted.
Najiy Jefri


Bergelar selebriti pastinya bukan satu kerjaya yang mudah dipikul. Sebaliknya ada banyak ujian dan cabaran yang perlu ditempuh.

Jadi, tidak hairan kenapa pelakon dan pengacara, Sean Lee, 30, lebih selesa merahsiakan kehidupan peribadi daripada pengetahuan orang ramai.

Katanya, dia enggan kisah hidupnya menjadi bahan jenaka atau mengundang kecaman.

"Bukan saya tak berbangga dengan apa yang ada dalam hidup, tapi saya mahu simpan untuk diri sendiri.

"Saya rasa tiada keperluan untuk saya ceritakan semua perkara kepada seluruh dunia.

"Ini kerana, ada perkara yang dikongsi kadangkala tidak dihargai. Lagipun orang tak kisah dan mereka hanya mahu bercakap mengenainya sahaja.

"Saya tak mahu kehidupan peribadi dipermainkan, jadi lebih baik orang luar jangan masuk campur mengenainya. Kalau orang mahu tahu dan saya mahu berkongsi, itu tiada masalah," katanya.

Ditanya mengenai status kehidupan peribadinya, Sean enggan menjawab sama ada dia sudah mempunyai teman istimewa.

"Berkenaan status saya, itu saya serahkan kepada kalian untuk mencarinya.

"Cuma saya akui ada perancangan nak kahwin. Dari muda memang rancang nak kahwin awal, tapi kena lihat dulu.

"Kalau ada rezeki dan semuanya berjalan lancar, saya akan teruskan.

"Tak tahu lagi sama ada tahun ini atau tidak, kena lihat dulu sebab banyak perkara berlaku dalam hidup saya ketika ini. Jadi, saya perlu menyusun satu persatu," katanya.

SEAN tutup mulut soal status.
SEAN tutup mulut soal status.

Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga, Sean sebaliknya menyerahkan soal itu kepada takdir.

"Saya tak mampu mengawal soal itu dan biar Tuhan tentukan apa yang terbaik untuk saya.

"Sebagai insan yang banyak kelemahan saya cuma mahu buat yang terbaik untuk hidup saya seperti jaga kesihatan dan menikmati kehidupan dengan tenang," kata Sean yang bakal bertindak sebagai hos program Anugerah Gempak Most Wanted.

Dia akan bergandingan dengan Amelia Henderson, Zizan Razak dan Sherry Alhadad pada acara yang dijadual disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 25 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 6:11 AM