FASIH berbahasa Melayu,  malah kebanyakan drama lakonannya berjaya tarik perhatian penonton.
FASIH berbahasa Melayu, malah kebanyakan drama lakonannya berjaya tarik perhatian penonton.
Norhayati Nordin


BAGI peminat program hiburan di TV3 seperti MBuzz dan I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY), pastinya tidak asing dengan gelagat menghiburkan pengacaranya, Sean Lee Jia Ern atau lebih dikenali sebagai Sean LJE.

Pemuda Cina berusia 27 tahun ini ternyata mempunyai aura tersendiri dan fasih bertutur bahasa Melayu amat dikagumi.

Jadi, tak hairanlah apabila Sean yang juga pelakon ini begitu disenangi dalam kalangan penonton Melayu.

Muncul kali pertama dalam lakonan menerusi drama Keluarga Pontimau arahan Kabir Bhatia pada 2015 sebagai Joe, hingga kini pelbagai drama tempatan dibintangi Sean.

Malah, sejak beberapa tahun ini juga kebanyakan drama lakonan Sean berjaya menarik perhatian penonton seperti My Coffee Prince, Sweet Dreams, Demi Rindumu, Jujurlah Nikahi Aku, 7 Hari Mencintaimu 2 dan Romantika 4 Hari 3 Malam.

SEAN LJE bersikap terbuka menerima tawaran berlakon yang datang buatnya.
SEAN LJE bersikap terbuka menerima tawaran berlakon yang datang buatnya.

Melihat perkembangan positif kerjaya seninya, Sean berkata, dia seorang pelakon yang tidak begitu memilih watak.

Katanya, setiap tawaran yang datang dia cuma melihat pada watak serta jalan cerita sesuatu karya itu.

"Saya sebenarnya tak memilih pun tawaran dan watak. Bagi saya, setiap tawaran yang datang itu adalah rezeki dan sekadar meneliti watak akan dibawa serta jalan cerita drama berkenaan.

"Asalkan watak itu sesuai dan saya yakin dapat melakonkan dengan baik, saya pasti terima kerana sangat menghargai setiap tawaran itu. Untuk saya, komitmen kerja sangat diutamakan," katanya.

SELAIN ICSYVMY, Sean juga mengacarakan MBuzz.
SELAIN ICSYVMY, Sean juga mengacarakan MBuzz.

Ditanya hasratnya untuk mengorak langkah menceburi industri lebih besar kerana fasih dalam bahasa Inggeris dan Kantonis, Sean berkata, dia juga percaya pada rezeki dan jika sudah ada peluang itu, pasti masanya akan tiba juga.

"Setakat ini, saya sangat selesa berada di dalam industri hiburan yang diceburi masyarakat Melayu. Apatah lagi, kali pertama menjejakkan kaki, nama saya sudah terpahat di dalam industri hiburan Melayu.

"Saya okey saja dengan pengalaman ini kerana dari situ sebenarnya banyak yang saya belajar. Saya ambil pendekatan positif dengan menyifatkan mungkin peluang dan rezeki saya untuk menerokai industri dalam bahasa lain belum masanya lagi.

"Terus-terang saya katakan, untuk sejauh ini saya sudah reda dan menerima segalanya dengan hati terbuka. Ini mungkin perjalanan takdir saya sekarang dan mana tahu suatu hari nanti ada peluang lebih besar lain akan datang pula," katanya.

Sean berkata, dia ada mendapat tawaran untuk berlakon filem daripada produksi luar. Namun, akibat penularan Covid-19 ketika ini, maka banyak urusan kerjanya perlu diatur semula.

"Selain filem itu, saya juga ada beberapa projek berlakon drama lain. Begitu juga, perancangan untuk menghasil dan menerbitkan web siri sendiri di mana saya bertindak sebagai penulis skrip selain berlakon juga.

"Saya suka nak cuba terbabit dalam urusan kerja belakang tabir kerana yakin banyak ilmu dan pengalaman baharu akan diperoleh. Ditambah, ia memberi peluang untuk saya meneroka kerja-kerja di bahagian pos produksi pula, katanya.

Berbicara juga mengenai jodoh, Sean berkata, dia mahu memberi tumpuan pada kerjaya dulu.

Katanya, kegagalan dalam hubungan cinta lalu membuatkan dia belum bertemu calon pengganti lagi.

MANTAP gandingan Sean dan Shuk ketika mengacarakan program ICSYVMY.
MANTAP gandingan Sean dan Shuk ketika mengacarakan program ICSYVMY.

Selesa dan serasi dengan Shuk

Sudah tiga musim mengacarakan ICSYVMY bersama Shuk Sahar sejak musim kedua pada 2019 lalu, bagi Sean keserasian kerjasama mereka sudah dibuktikan. Malah, baginya mereka saling membantu.

"Saya gembira apabila terus digandingkan bersama Shuk untuk kami mengacarakan ICSYVMY musim keempat kali ini. Sebenarnya, saya berdebar juga sebelum tahu Shuk dikekalkan lagi.

"Saya selesa bekerja dengan Shuk kerana kami sudah bekerjasama untuk musim kedua dan ketiga sebelum ini. Kami sudah faham karakter dan cara kerja masing-masing. Jadi, memang saya harap kemunculan Shuk.

"Apapun, itu bukan bermakna saya tidak boleh bekerja dengan orang lain. Saya fleksibel dan mampu membentuk keserasian dengan sesiapa saja yang bekerja bersama saya," katanya.

Sudah beberapa episod ICSYVMY musim keempat ditayangkan TV3, setiap Ahad, jam 9 malam mulai 16 Mei lalu, rating penonton dicatatkan program itu sangat baik. Malah, gandingan Sean dan Shuk juga didapati lebih mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:40 AM