AMELINA bersyukur rezeki dalam nyanyian tidak putus.
AMELINA bersyukur rezeki dalam nyanyian tidak putus.
Norhayati Nordin


WALAUPUN pernah 'menghilang' dari radar industri hiburan agak lama selepas mendirikan rumah tangga pada penghujung 1990-an, namun nama penyanyi dangdut popular, Amelina, 48, tidak pernah dilupakan peminat.

Buktikannya apabila pembabitan Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin dalam program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada 2018 lalu cukup menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun, kini nama Amelina seakan-akan 'sepi'.

Mengulasnya, Amelina berkata, dia tidak menyepi lagi kerana karier nyanyiannya masih berjalan lancar sejak kemunculan semula pada 2015. Cuma, disebabkan penularan Covid-19 dua tahun lalu, ia mungkin nampak perlahan.

"Sebenarnya saya amat bersyukur kerana sejak muncul kembali pada 2015, saya menerima sokongan baik daripada banyak pihak dan peminat. Tapi, saya kena akur perlu bermula dari bawah kembali.

"Selama 15 tahun saya meninggalkan karier seni, jadi apabila muncul semula mesti ia perlukan masa untuk orang yakin saya boleh menyanyi lagi. Alhamdulillah, saya bersyukur rezeki dalam nyanyian masih ada hingga kini.

"Jadi, selama hampir lapan tahun saya aktif menyanyi semula, memang sangat berterima kasih kepada peminat. Walaupun saya mulanya mungkin perlu 'mendaki tangga semula' untuk menempatkan diri sebaris dengan penyanyi generasi baharu, ia tetap berhasil," katanya.

Menurut penyanyi dangdut yang popular dengan lagu Memori Daun Pisang dan Asyik ini, semestinya keutamaan dia adalah peminat.

Katanya, tanpa sokongan daripada peminat tegarnya, Amelina tidak akan ada lagi sebagaimana sekarang.

"Alhamdulillah, pada ketika ini saya sudah berasa sangat-sangat selesa berada semula dalam industri muzik. Malah, selama hadir kembali mewarnai industri, saya sudah merakamkan beberapa single baharu untuk peminat.

SINGLE baharu, Amelina akui masih popular dengan lagu lama.
SINGLE baharu, Amelina akui masih popular dengan lagu lama.

"Cuma, kalau nak rakamkan single lagi pada masa sekarang, saya tiada kelapangan masa kerana memenuhi banyak tawaran persembahan. Alhamdulilah, rezeki anak-anak dan keluarga.

"Apa pun, perancangan nak buat single baharu tetap ada dan masih mengekalkan genre dangdut. Malah, sebenarnya saya pun dah ada dua single dalam tangan iaitu ciptaan saya sendiri dan satu lagi daripada komposer lain," katanya.

Amelina berkata, jika dia tidak merakamkan lagu baharu pun tak mengapa, kerana banyak lagu lamanya daripada album terdahulu masih popular hingga hari ini dan jadi permintaan ramai.

Katanya, setiap kali tampil dalam persembahan dijayakan, dia menyanyikan lagu lamanya kerana itu yang diminta penonton.

Amelina berkata, kalau tiga lagu yang diminta, semua itu adalah lagu lamanya.

"Jadi, bila masanya saya nak nyanyikan lagu baharu itu. Justeru, sukar untuk saya mengharapkan lagu baharu yang dirakamkan ini akan mesra pendengar pada kalangan peminat saya dalam acara persembahan dijayakan," katanya.

HIDUP solo, Amelina serah soal jodoh baharu kepada Allah.
HIDUP solo, Amelina serah soal jodoh baharu kepada Allah.

Tak fikir nak kahwin lagi

Tujuh tahun menggalas status ibu tunggal enam anak, Amelina berkata, dia sangat selesa dengan kehidupan sekarang, sekali gus tidak begitu memikirkan soal jodoh lagi.

Kata wanita kelahiran Negeri Sembilan ini, dia terlalu sibuk dengan kariernya hingga tidak terfikir langsung soal teman hidup.

Katanya, anak-anak juga okey bersama-sama dengannya dan mereka bahagia.

"Saya melihat dalam jodoh ini, kalau tidak orang yang pilih kita, jadi kita juga yang kena memilih orang. Apatah lagi, ibu tunggal yang ada enam anak macam saya. Memang tak mudah untuk buat keputusan besar begini lagi (kahwin).

"Lagipun, saya sendiri ada perasaan trauma dalam rumah tangga terdahulu. Tempoh hidup bersama selama 15 tahun dengan bekas suami sudah cukup pahit buat saya kenang. Jadi, semestinya saya tidak mahu lagi mengulangi semula kehidupan yang derita itu," katanya.

Kata penyanyi lagu Janda Anak Enam ini, dia akan cuba mencari yang terbaik untuk dirinya supaya tidak merasai lagi perkara yang menyedihkan dalam hidup.

Amelina berkata, sekiranya masih ditemukan jodoh baharu dengan seseorang yang boleh membahagiakannya, dia yakin pasti tidak ke mana.

Terdahulu, Amelina berkahwin dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999, tetapi bercerai pada 19 Jun 2016.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan enam anak iaitu Puteri Nur' Athirah, 21, Putera Al' Affiq, 20, Putera Al' Asyraff, 19, Puteri Nur' Asyurah, 17, Putera Al' Arffa, 15, dan Putera Al' Amzar, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 6:20 AM