Tiko Aryawardhana (Kanan) dan Bunga Citra Lestari (Kiri). Foto dari Instagram.
Tiko Aryawardhana (Kanan) dan Bunga Citra Lestari (Kiri). Foto dari Instagram.
Suhaila Khairie

 

 

Kuala Lumpur: Nama penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari, 40, masih menjadi perhatian ramai selepas pernikahan bersama kekasihnya, Tiko Aryawardhana, 43 di pulau peranginan Bali, Indonesia minggu lalu.

Bahkan apa yang menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet adalah aksi mesra yang dipaparkan mereka di media sosial.

Bunga atau BCL tidak terlepas daripada kritikan selepas dilihat terus memuat naik hantaran bersama Tiko sejak melangsungkan pernikahan kali kedua itu.

Kritikan itu dapat dilihat menerusi hantaran di Instagram @rumpi_gosip, malah ada juga segelintir warganet yang mengingatkan BCL untuk tidak berlebihan dalam berkongsi aksi mesra mereka.

Menerusi hantaran sama, masih ramai juga yang mendoakan kesejahteraan rumah tangga pasangan terbabit dan menasihati warganet lain agar tidak meninggalkan komen berbaur negatif.

Terdahulu, pasangan ini dinikahkan dalam sebuah majlis tertutup dengan hanya dihadiri keluarga terdekat dan teman rapat di Bali, Indonesia pada 2 Disember lalu.

Sebelum ini, BCL pernah bernikah dengan pengacara dan pelakon dari Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair, 12.

Namun, Allahyarham Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020 ketika tidur akibat serangan jantung.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 7:11 PM