GENRE R&B cukup tepat untuk Junny.
GENRE R&B cukup tepat untuk Junny.
Georgie Joseph


SEKIAN lama menyimpan hasrat beraksi di Malaysia, Junny dari Korea Selatan akhirnya berjaya merealisasikannya menerusi konsert 'blanc' Tour 2023 Asia anjuran Onion Production bertempat di The Bee, Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kegembiraannya cukup terpancar ketika muncul di pentas jam 8.30 malam. Junny atau nama sebenarnya Kim Hyung-jun, 27, tidak sia-siakan kesempatan itu menghiburkan peminat sebagus yang boleh.

Sebenarnya jika diamati, aura penghibur dalam dirinya tampak semula jadi. Dia tidak perlu buat-buat aksi tertentu pun atas pentas kerana komunikasi serta nyanyiannya sudah cukup memikat.

"Ini adalah sebuah mimpi jadi kenyataan. Saya sangat bahagia melihat wajah-wajah kamu pada malam ini," katanya.

Mempertaruhkan genre R&B, Junny memilih genre yang cukup tepat dan sempurna dengan jiwanya. Itu kekuatan yang boleh dilihat ketara dalam dirinya baik pada cara lenggok nyanyian serta muziknya secara keseluruhan.

Dia juga bijak menonjolkan dirinya sebagai artis yang berjiwa kental R&B. Lagu berentak begitu bukan mampu dikuasai sesiapa kerana auranya iaitu menggoda dan permainan warna suara perlu tepat.

Bukan sekadar nyanyian, gerak-geri bahasa tubuhnya cukup bersatu dengan setiap lagu dipersembahkan. Walaupun pentasnya agak kecil di lokasi itu, dia tidak berdepan masalah menakluknya dengan cara tersendiri.

Padahal kalau ikutkan, Junny masih boleh dikatakan agak hijau dalam industri muzik. Bagaimanapun, dia tahu cara mendapatkan 'roh' terbaik bila melangkah atas pentas sepertinya sudah berpengalaman lama.

Menurutnya, dia sentiasa ingin memastikan penonton terkesan dengan setiap persembahannya. Disebabkan niat juga, dia percaya keikhlasan untuk menghibur pasti memuaskan ramai.

"Saya berharap kamu menikmati malam ini dengan penuh kemanisan bersama saya. Terima kasih sudah benar-benar membuatkan saya rasa sangat dihargai tidak kira sejak bila kamu mulai meminati saya," katanya.

Junny menjadikan Kuala Lumpur persinggahan ketiga selepas Hong Kong pada 4 November lalu dan Singapura (7 November).

Pada malam itu, dia mempersembahkan lagu Color Me, Obvious, Not About You, Fame, Invitation, Optimist, Early, Nostalgia, By My Side, Movie, Get Ya!, 2oclock, Say, Patience, Feel That, For The Weekend, Oh! dan Thank You.

Junny yang dilahirkan di Kanada mula mencipta nama selepas bakatnya dicungkil anggota EXO iaitu Luhan. Memiliki nyanyian unik, dia kemudian berpindah ke Korea Selatan bagi mengembangkan karier muzik.

Diperkenalkan pada 2018, saduran genre R&B dan K-Pop dalam karyanya mudah memikat peminat muzik pelbagai golongan khususnya pencinta K-Pop. Junny juga bekerja rapat dengan penyanyi rap terkemuka Korea Selatan seperti Jay B, ph-1 dan Kid Milli.

Lagu hit terbaharunya bersama Gaeko berjudul Invitation mencapai lebih 2.9 juta tontonan di YouTube.

Bukan setakat cemerlang menerusi lagu sendiri, dia turut menjadi orang penting

di sebalik lagu hit penghibur hebat lain termasuk SHINee, NCT Dream, Billie, Suho, Baekhyun dan IU.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 6:48 AM