Junny jayakan persembahan Tour 2023 Asia
Junny jayakan persembahan Tour 2023 Asia
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Korea Selatan, Junny tidak sabar beraksi buat julung kali di Malaysia pada Jumaat ini menerusi konsert 'blanc' Tour 2023 Asia bertempat di The Bee, Publika, di sini.

Junny atau nama sebenarnya Kim Hyung-jun, 27, menjadikan Kuala Lumpur (KL) persinggahan ketiganya selepas Hong Kong pada 4 November lalu dan Singapura (7 November).

"Asia, jumpa kamu tidak lama lagi," katanya pada sebuah hantaran sebelum ini.

Junny yang dilahirkan di Kanada mula mencipta nama selepas bakatnya dicungkil anggota EXO iaitu Luhan.

Memiliki nyanyian unik, dia kemudian berpindah ke Korea demi kembangkan karier muzik.

Diperkenal pada 2018, saduran genre R&B dan K-Pop dalam karyanya mudah memikat peminat muzik pelbagai golongan khususnya pencinta K-Pop.

Junny juga bekerja rapat dengan penyanyi rap terkemuka Korea termasuk Jay B, ph-1, dan Kid Milli.

Lagu hit terbarunya bersama Gaeko berjudul Invitation sudah mencapai lebih 2.9 juta tontonan di YouTube.

Bukan setakat cemerlang menerusi lagu sendiri, dia turut menjadi orang penting di sebalik lagu hit penghibur hebat lain termasuk SHINee, NCT Dream, Billie, Suho, Baekhyun, dan IU.

Selepas KL, Junny akan singgah ke dua lokasi lagi iaitu Taipei pada 12 November dan Bangkok (14 November) menerusi siri jelajah anjuran Onion Production itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 11:36 AM