KONSERT MTV World Stage Malaysia 2015 kurang menyengat walaupun menampilkan nama hebat.
KONSERT MTV World Stage Malaysia 2015 kurang menyengat walaupun menampilkan nama hebat.
Oleh Georgie Joseph


Menjadi acara muzikal yang sentiasa dinanti saban tahun, MTV World Stage Malaysia 2015 yang berlangsung malam kelmarin terus menunjukkan variasi biarpun jangkaan segelintir pengikutnya barangkali tidak dipenuhi.

Bukan apa, pada edisi sebelum penganjuran yang ketujuh tahun ini, konsert gah berkenaan amat terkenal dengan hiburan penuh rancak. Kebanyakan penghibur ditampilkan dalam acara itu setakat ini turut dipuji persembahannya.

Apapun, untuk edisi kali ini yang masih berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Kuala Lumpur, kehangatannya sedikit berbeza. Berjaya menarik lebih 20,000 penonton, percaturan MTV kali ini mungkin sedikit tidak menjadi.

Bukan menidakkan nama barisan penghibur yang terbabit malam itu. Cumanya, daripada segi elemen keterujaan penonton berseronok dan menikmati secara maksimum acara itu nyata tidak sehebat dulu.

Padahal, nama Carly Rae Jepsen dan band Jepun, Sekai No Owari turut disebut-sebut antara paling dinantikan persembahannya. Apalagi, masing-masing punya gawang peminat tempatan yang cukup kuat juga.

Mujur, superstar R&B terkenal, Jason DeRulo muncul sebagai penyelamat sebagai artis penutup malam itu. Tenaga dan aura yang dibawanya tatkala menakluk pentas turut membangkitkan kembali keterujaan penonton.

Biarpun mengambil sedikit masa dengan membuat persiapan alatan muzik di pentas, penantian penonton berbaloi. Benarlah pujian-pujian yang selalu diberikan terhadapnya sebelum ini bahawa persembahan secara langsungnya sangat bagus.

Penyanyi Amerika Syarikat (AS) yang tidak ketinggalan menampilkan segerombolannya nyata bijak membuatkan dirinya tidak tenggelam. Dia sendiri mampu menari dengan hebat selain vokalnya yang tidak goyah langsung.

Penonton masing-masing juga nampak sangat puas apalagi rangkaian lagu dipersembahkan semua yang mesra di telinga pendengar.

Nyata teruja dapat kembali kali kedua di Malaysia, Jason menganggap pemilihannya beraksi di MTV World Stage Malaysia 2015 satu transisi hebat buatnya.

“Ini kali kedua saya berada di sini dan terus terang tidak tergambar perasaan dapat kembali ke Malaysia. Masih ingat lagi pertama kali ke sini, saya cuma membuat persembahan di pusat beli-belah tapi lihatlah sekarang saya di depan puluhan ribu penonton,” katanya.

Rangkaian lagu hits yang dipersembahkan Jason termasuk Watcha Say, In My Head, Trumpets, Talk Dirty, Wiggle, It Girl, Marry Me, Cheyenne, Want To Want Me dan Pull Up. Kelihatan DJ yang mengiringi persembahannya iaitu DJ Joe Murphy turut memakai jersey Harimau Malaya.

Sedikit mengecewakan, penyanyi popular tempatan iaitu Stacy yang tampil sebagai artis pembukaan hanya sekadar menyanyi satu lagu. Bagaimanapun, dia yang mempersembahkan Not For Sale bersama penyanyi rap, Altimet, tampil lincah dan bertenaga di pentas.

Mewakili artis K-Pop untuk edisi kali ini, kumpulan dianggotai enam wanita iaitu Apink pula memecah keheningan peminat muzik Korea Selatan malam itu.

Tiada lagi isu ‘miming’ kerana ternyata nyanyian secara langsung mereka sebenarnya bagus, kumpulan itu bijak menambat hati penonton. Tidak hanya dalam kalangan peminat K-Pop, bahkan rata-rata penonton lain terhibur dengan kerancakan lagu-lagu mereka.

Hanya tampil ringkas dengan persalinan berona putih, Apink menyanyikan seleksi lagu popular mereka termasuk LUV, NoNoNo dan Remember.

Tidak mengecewakan bahkan Carly sendiri pula begitu selesa di pentas dan bersungguh-sungguh menghiburkan penonton. Sayangnya, kehangatan hanya dirasa sewaktu dua lagu terakhirnya dinyanyikan iaitu Call Me Maybe dan I Really Like You.

Faktor seleksi lagunya yang barangkali penyebab kenapa persembahannya dilihat sedikit malap. Turut mendendangkan lagu seperti Run Away With Me dan E.MO.TION, amat ketara ramai penonton masih tidak kenal lagu lainnya.

Demikian juga band Jepun, Sekai No Owari yang tidak disangkal berjaya menarik perhatian penonton dengan muzik unik mereka. Me-

nyanyikan hanya lagu-lagu Inggeris terbaik mereka, band berkenaan juga ada pengikut tersendiri.

Cumanya, nyanyian mereka yang tiada cacat cela dan seperti dalam rakaman membuatkan ramai penonton berteka-teki adakah penyanyinya ‘miming’ ataupun tidak. Mempersembahkan lagu ANTI HERO, Death Disco, SOS, dan Dragon Night, mainan instrumen band itu secara langsung memang luar biasa.

Seperti tahun terdahulu, acara berkenaan yang dirakam akan turut ditayangkan di seluruh dunia. Di Malaysia pula, konsert MTV World Stage 2015 boleh ditonton pada 26 September ini, jam 3 petang, di saluran MTV Asia (Astro 713).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:00 AM