BABAK menarik dalam filem Imaginur.
BABAK menarik dalam filem Imaginur.
Syafil Syazwan Jefri

Luar kotak! Itulah dua perkataan yang dapat saya gambarkan mengenai filem Imaginur, saat ditanya oleh rakan-rakan. Sejujurnya, saat melihat iklan promosi mengenai Imaginur di Instagram, saya terus tertarik untuk hadir ke pawagam dan menonton.

Walaupun posternya ringkas, ada sesuatu yang berjaya menarik perhatian saya untuk menonton. Ditambah pula dua bintang utamanya - Beto Kusyairy dan Diana Danielle yang mengisi grafik poster itu, turut menjadi faktor saya tertarik untuk ke pawagam.

Secara ringkasnya, ia mengisahkan mengenai perjalanan hidup Zuhal lakonan Beto yang berdepan krisis apabila dia umpama tersangkut di satu fasa. Itu sekali gus membuatkannya tidak dapat meneruskan perjalanan kehidupannya dengan normal.

Sukar untuk saya rungkaikannya di dalam ulasan kali ini kerana kalau tersalah langkah, ia umpama saya mengkhianati pengarahnya. Ia sangat 'tricky' dan pantang sedikit, akan membuatkan saya berkongsi mengenai 'rahsia' dalam jalan ceritanya.

Daripada sudut barisan pelakon yang mengisi karya arahan pengarah Nik Amir Mustapha ini, saya dapat gambarkan bahawa ia adalah barisan pelakon 'A-List'. Daripada pelakon utama sehinggalah barisan pelakon pembantu, semuanya ada nama dan bakat yang tidak perlu lagi dipertikaikan.

IMAGINUR mampu buat penonton mengalir air mata.
IMAGINUR mampu buat penonton mengalir air mata.

Lakonan Beto Kusyairy, seperti sering kita lihat, sentiasa hadir dengan penuh jiwa. Dia berjaya menghidupkan watak Zuhal dengan baik sekali. Gandingannya dengan Diana Danielle yang memegang watak Nur juga sangat menyentuh jiwa penonton.

Bahkan, Datuk Afdlin Shauki yang sering kita lihat sebagai pembawa watak komedi, turut memberikan sesuatu yang berbeza kali ini.

Garapan Nik untuk karya tulisannya bersama Redza Minhat ini nampak hidup, sekali gus menimbulkan keyakinan, umpama ilmu hipnosis itu benar-benar diguna pakai seperti yang dipaparkan dalam Imaginur.

Bintang veteran seperti Fatimah Abu Bakar, Mior Hashim Manap dan Datuk Rahim Razali, ketiga-tiga mereka umpama pelengkap untuk filem ini. Walaupun dialog ketiga-tiga mereka tidaklah terlalu banyak, namun apabila tiba saat mereka berekspresi dan melontarkan dialog, hati serta jiwa penonton umpama digoncang gempa.

LAKONAN Beto bawa impak.
LAKONAN Beto bawa impak.

Penonton yang hadir di tayangan malam gala baru-baru ini, menitiskan air mata memandangkan apa yang dipaparkan begitu dekat dengan hati kita semua dan pada masa sama, benar-benar memberikan impak.

Selain lakonan pelakonnya, saya juga tertarik dengan lokasinya yang memaparkan keindahan Perlis serta gred warna yang digunakan. Sinematografinya juga sangat berkelas.

Daripada sudut pandang saya sebagai penonton, saya mengharapkan agar lebih banyak pembikin filem tempatan akan hadir dengan corak filem sebegini, yang penuh dengan pertanyaan dan pada masa sama, bagaimana semua pertanyaan itu dibongkar perlahan-lahan.

FILEM: Imaginur

PENGARAH: Nik Amir Mustapha

PENULIS SKRIP: Redza Minhat, Nik Amir Mustapha

PELAKON: Beto Kusyairy, Diana Danielle, Datuk Afdlin Shauki, Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, Mior Hashim Manap, Datuk Rahim Razali, Takahara Suiko, Anas Ridzuan

TERBITAN: Lumatic Films

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 6:30 AM