ZAHIRIL Adzim
ZAHIRIL Adzim
Amirul Haswendy Ashari

Tidak ramai tahu pelakon Mohd Zahiril Adzim bin Mohd Mokhtar atau Zahiril Adzim, 34, memulakan kerjaya seni dengan melakonkan watak antagonis sebagai Boy dalam filem Kami pada 2008.

Namun begitu, ramai peminat beranggapan Zahiril terlalu ‘baik’ untuk memegang watak antagonis.

“Sisi antagonis yang sering saya jayakan sentiasa berbeza. Sebagai contoh, dalam filem Juvana saya pegang watak Daim. Dia hanyalah budak, begitu juga watak Uda dalam filem Pekak.

“Apabila dapat watak Adi dalam KL Gangster Underworld (KLGU), antagonisnya berbeza. Sudah lama tidak ‘main’ karakter sebegini yang lebih matang serta ganas. Saya sukakan Adi,” katanya.

Menurutnya, watak antagonis membuka ruang lebih luas kepada pelakon meneroka dan membuatkan penonton meluahkan rasa benci terhadap karakter itu.

Ditanya sama ada sukar untuk meyakinkan penonton agar percaya dengan watak yang dibawa, Zahiril yang mesra disapa Bob dalam kalangan teman artis berkata, dia tidak pasti mengenai perkara itu.

Katanya, ia sesuatu yang subjektif dan kerana perlu membawa karakter dengan bersungguh-sungguh melalui pengucapan dialog.

“Kalau peminat mengikuti perkembangan kerjaya seni saya, filem Kami adalah permulaan watak antagonis buat saya. Kepuasan membawa watak antagonis ini sukar digambarkan dan ia memberi lebih kebebasan.

“Apabila berada di set, kita akan buat sehabis baik. Saya rasa bersalah kalau tidak berlakon betul-betul,” katanya.

Baginya, sikap sambil lewa ketika menjayakan sesuatu watak seolah-olah tidak menghormati tugas kru di bahagian solekan, pakaian, teknikal dan kamera yang bersusah payah mahu menghasilkan karya terbaik.

Namun, cabaran membawa watak antagonis tidak boleh berlebihan kerana akan menyebabkan penonton jadi terlalu benci seterusnya memberi kesan kepada jumlah tontonan.

Ditanya sama ada akan memilih berlakon dalam karya untuk tontonan dalam talian berbanding televisyen atau filem, Zahiril ada pendapat sendiri.

Katanya, biarpun bermain dalam ruang karya dalam talian lebih bebas dan puas, platform itu agak baru dalam kalangan penonton tempatan dan masih berkembang.

“Tipulah kalau kata berlakon dalam platform seperti iflix tidak puas tetapi saya masih mahu ‘bermain’ di kaca TV dan layar perak,” katanya.

Selain projek KLGU yang masih ditayangkan di saluran iflixfree sejak bulan lalu, Zahiril juga teruja tatkala bercerita mengenai projek pengacaraan sebuah program travelog berjudul Menjejak Hamka.

Profesor Dr Abdul Malik bin Dr Syekh Haji Abdul Karim Amrullah atau Hamka ialah ulama, ilmuwan, ahli falsafah dan penulis novel yang menghasilkan novel popular seperti Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Ka’bah.

Zahiril berkata, selama satu bulan dia merantau ke beberapa daerah di Malaysia dan Indonesia untuk menjejaki perjalanan ikon dunia sastera dan agama itu.

“Saya baru pulang dari Indonesia, merantau ke beberapa tempat seperti Jakarta, Surabaya dan Jogjakarta selama dua minggu bagi menjejaki kisah Hamka pada awal bulan lalu.

“Kemudian berehat sekejap untuk sesi promosi KLGU dan sambung semula penggambaran program itu di Padang pula selama dua minggu beberapa minggu lalu.

“Ini kali pertama saya lakukannya dan boleh dianggap sebuah program yang berat bagi setengah penonton tempatan,” katanya.

Memandangkan isunya agak berat kerana memaparkan perjalanan hidup ilmuwan terkenal abad ke-21, Zahiril memastikan penyampaiannya agak ringan.

Jejaka kelahiran Taiping ini bersyukur berpeluang menemui keluarga Hamka, selain dapat meluangkan masa makan bersama-sama mereka sambil bercerita mengenai sejarah hidup beliau.

Dia juga ke beberapa pusat pengajian dan bertemu dengan pensyarah serta profesor yang pernah berkawan rapat dengan tokoh terkenal itu.

“Saya sendiri tidak pasti mengapa pihak produksi memilih saya untuk mengemudi program ini. Mungkin mereka selesa bekerja dengan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 3:30 AM