Vokalis Search, Denden ketika berduet dengan Ella dalam satu persembahan.
Vokalis Search, Denden ketika berduet dengan Ella dalam satu persembahan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain gitar adik-beradik terkenal dari kumpulan Search, Din dan Kid terbuka menerima teguran terhadap kelemahan vokalis mereka, Denden Gonjalez berkomunikasi dengan peminat.

Din atau Noordin Mohd Taib berkata, perkara ini kerap diperkatakan termasuk dikalangan media sendiri.

"Kita kena sedar dia baru sahaja datang dari Indonesia dan sedang berusaha nak mengenali Bahasa Melayu. Kalau ikutkan dialek pun tiada beza sangat. Orang masih faham percakapan dia.

"Kalau nak kata orang tak faham, boleh tengok setiap minggu artis Indonesia buat konsert kat Zepp, KL. Jadi ia bukanlah satu masalah sangat. Lainlah kalau dia bercakap satu bahasa lain yang sangat berbeza," katanya kepada Harian Metro.

Denden yang berasal dari Bandung, Jawa Barat, membuat kemunculan sulung bersama Search menerusi Konsert Search Rockin' On Rooftop di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, pada 18 Jun lalu.

Dia seterusnya beraksi dalam konsert Search di Pulau Pinang, Singapura dan terbaru Kuantan. Search juga pernah bergabung bersama Barbarik menjayakan Konsert Double Trouble 2 September lalu.

"Kami akui semasa mula-mula tampil dia agak gugup. Rooftop adalah kemunculan pertama dia dalam konsert besar. Dia tak pernah menyanyi dalam konsert sebelum itu.

"Pengalaman dia tiada tapi keberanian dia wajar dipuji. Dia wajar diberi peluang dan Insya Allah akan jadi lebih baik selepas ini," katanya.

Denden kini berulang-alik dari Indonesia setiap kali perlu berlatih menjelang konsert, namun bagi Search ia bukan masalah besar sehingga memerlukan dia berhijrah ke negara ini.

"Denden sedia beri komitmen tinggi agar persembahan Search berjalan lancar. Sukar untuknya terus menetap di sini kerana dia mempunyai keluarga di Indonesia.

"Sebaliknya, jika ada persembahan dia akan ke Kuala Lumpur seminggu lebih awal bagi membuat persediaan bersama-sama kami.

"Ada penyanyi lain yang menawarkan diri tapi bagi kami, sudah cukup apa yang ada sekarang," katanya.

Search yang turut dibarisi Yan (bass), dan Min (dram) bakal tampil dengan Konsert Search Voyage of Asia di Educity Sports Complex, Johor Bahru sempena penganjuran Hari Rock Negara edisi Selatan pada 24 dan 25 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 11:37 AM