Sidang media mengenai Konsert Search Rocking On Rooftop yang akan berlangsung di bumbung Kompleks Campbell pada 11 Jun ini. FOTO FATHIL ASRI
Sidang media mengenai Konsert Search Rocking On Rooftop yang akan berlangsung di bumbung Kompleks Campbell pada 11 Jun ini. FOTO FATHIL ASRI
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Tak apa itu pilihan peminat. Kami okay saja," kata pemain gitar Search, Noordin Taib sekiranya peminat memilih untuk menonton Konsert Search Endemik yang membariskan Amy (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Nasir (bass).

Noordin juga mengakui kurang menggunakan media sosial sejak kebelakangan ini bagi memberi tumpuan kepada persiapan Konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun ini.

"Mereka nak pergi sana pun boleh dan nak datang sini pun boleh. Kami nak 'enjoy' bersama penonton. Kami bukan nak berlawan dan tak terfikir pun perkara itu. Tiada tekanan dan nak 'enjoy' semata-mata. Kami nak habiskan projek ini dan kemudian pergi kepada projek seterusnya.

"Persiapan kami sekarang pun dah 80 peratus. Kami nak sasarkan 150 peratus dan kalau boleh 200 peratus," katanya pada sidang media dan rumah terbuka konsert terbabit, di sini.  

Konsert Search Rockin' On Rooftop akan menampilkan Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Minn (drum) dan Denden Gonjalez (penyanyi).

Noordin turut memberitahu, pemilihan Denden juga ada pro dan kontra dalam kalangan peminat mereka.  

   "Ada yang suka dan tak kurang juga yang sebaliknya. Tapi kami ambil positif perkara ini dan terus berlatih untuk cari keserasian dengan Denden. Kami ada perancangan untuk menghasilkan single baharu yang sesuai dengan suaranya. 

"Untuk konsert nanti, kami lebih menumpukan kepada lagu-lagu lama Search," katanya. 

Dalam pada itu, Noordin mendakwa mereka adalah kumpulan Search yang 'original' (asal).

"Selama ini, kami tak pernah keluarkan kenyataan mahu meninggalkan Search atau sebagainya. Jika ada kenyataan seumpama itu (dikeluarkan), boleh tunjukkan bukti. Kami tidak gentar. Kami berani kerana benar," katanya.

Sementara itu, Denden yang tampil buat kali pertama bertemu pihak media di sini berkata, dia sangat gembira berada di Malaysia.

"Saya sebenarnya gementar dapat bersama Search yang saya minati sejak zaman kanak-kanak. Impian saya kini jadi kenyataan. 

"Saya sekarang ikut acuan yang ditetapkan mereka. Namun mereka akan bagi masa untuk saya tonjolkan identiti sendiri selepas ini. Mudah-mudahan dengan adanya konsert ini, peminat boleh terima kehadiran saya dalam Search," katanya.

Search bakal membawa antara 14 hingga 17 lagu termasuk yang jarang dan tidak pernah dimainkan dalam mana-mana konsert Search sebelum ini. 

Antaranya petikan lagu daripada album keenam Search iaitu Rampage yang diterbitkan pada 1992.

Konsert Search Rockin' On Rooftop juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Peminat masih boleh mendapatkan tiket berharga RM198 dan RM298. Tiket paling murah, RM88, bagaimanapun sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell. Bagi pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 8:59 AM