Noordin dan Kid menampilkan penyanyi, Amir Masdi dan Jovita Pearl (X factor Indonesia) pada sidang media Konsert Search Gemuruh pada 29 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Noordin dan Kid menampilkan penyanyi, Amir Masdi dan Jovita Pearl (X factor Indonesia) pada sidang media Konsert Search Gemuruh pada 29 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kumpulan Search menolak dakwaan ketiadaan penyanyi dari Indonesia Denden Gonjalez pada Konsert Search Gemuruh yang bakal berlangsung pada 29 Jun depan di Zepp Kuala Lumpur berpunca kerana penyanyi itu sudah bersikap 'demand' dalam soal bayaran.

Din selaku pemain gitar Search ketika ditemui berkata, dia tidak berani untuk mengulas lebih lanjut mengenai hal itu kerana setiap kali kehadiran Denden di Malaysia pihaknya sentiasa memberi layanan terbaik.

"Soal demand itu perkara biasa, tapi saya tak berani cakap lebih-lebih. Mungkin dia lebih tahu apa yang dia nak.

"Kalau betul dia 'demand' atas sebab apa? Setiap kali ke sini kami sediakan 'butler' dan pemandu untuk dia, dalam soal bayaran pula, banyak mana kami dapat kami akan kongsi bersama. Sekalipun pun kami tak ketepikan dia," katanya.

Menurut Din, dia juga ingin menegaskan Search tidak pernah menetapkan pendirian mana-mana anggota Search ketika ini sebenarnya adalah anggota kekal dan menafikan sekeras-kerasnya mereka bermasam muka.

"Saya ingat sejak dahulu lagi saya sudah nyatakan bahawa 'line up' yang ada ini bukanlah kekal.

Malah pernah wartawan bertanyakan saya dahulu (sewaktu penubuhan Search dengan Denden) kenapa tak ambil penyanyi lokal dan saya pernah jawab bahawa saya mungkin akan mengambil vokalis tempatan tapi bukan waktu itu.

"Persahabatan kami okay saja tiada sebarang masalah, saya faham ada komen kata kami ada masalah dalaman. Selepas konsert kami di Johor Bahru tahun lalu, kami sangat okay dan gembira.

"Saya ada dengar juga cerita konon kami ada masalah dalaman, tapi kalau betul Denden ada masalah, dia boleh selesaikan dengan kami kerana kami yang jaga dia," katanya.

Dalam pada itu, Din turut diminta mengulas mengenai ketiadaan pemain bass undangan Yan dan ketidakpuasan hati jurutera bunyi Rahmad Kamikaze apabila konsert anjuran Big Stage Entertainment Channel dengan kerjasama MyMuzik Sendiri Entertainment itu memilih Kuzai sebagai jurutera bunyi.

"Orang luar tak tahu yang urusan pemilihan pemuzik dan lain-lain bukan kuasa kami. Kami hanya boleh cadangkan dan terpulang pada penganjur nak pilih siapa.

"Kali ini penganjur awal-awal lagi beritahu mereka nak juru bunyi sama seperti konsert di Rooftop tempoh hari, jadi kami akur saja.

"Kalau Rahmad kata saya tipu dia, tunjukkan bukti terperinci bila saya janji dengan dia. Saya memang tak ada tawar apa-apa, tapi ada berbual hal konsert.

"Kalau boleh memang kami nak tolong kawan-kawan tapi kuasa tidak berada di tangan kami," katanya.

Konsert Search Gemuruh akan menampilkan Kid dan Din bersama Min (dram) dan Rozaimie (pemain bass Barbarik sebagai Sessionist) serta Amir Masdi sebagai penyanyi undangan.

Segmen persembahan khas pula akan menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle, Rozario Rasul, Ujang Exist, Fly Halizor dan Jovita Pearl (X Factor Indonesia).

Keseluruhan konsert dijangka mengambil masa kira-kira dua jam 45 minit dengan persembahan 16 lagu tanpa henti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:16 PM