SAKINAH (kiri) menerima telekung dan bantuan keperluan harian daripada Zuraini.
SAKINAH (kiri) menerima telekung dan bantuan keperluan harian daripada Zuraini.

Zuliaty Zulkiffli

[email protected]

Kubang Pasu: Gadis ini pernah bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam pelajarannya namun segala-galanya musnah sekelip mata apabila dia disahkan menghidap kanser Ewing Sarcoma yang berkaitan tulang, tisu dan otot perut tahap empat.

Sakinah Zainol Abidin, 22, dikesan menghidap kanser itu pada 2019 selepas mendapati terdapat ketulan kecil di bahagian bawah perut.

Katanya, pada mulanya dia menyangka ketulan itu hanya ketumbit kerana tidak sakit, tetapi lama kelamaan ia membesar menyebabkan dia mendapatkan rawatan di Hospital Jitra (HJ).

"Ketika itu saya masih belajar di tingkatan enam dan bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Bagaimanapun, doktor di HJ kemudian meminta kes saya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan menjalani rawatan lanjut sebelum disahkan menghidap kanser.

"Saya dimaklumkan kanser dialami sudah merebak ke otak menyebabkan saya diserang sawan sehingga kaki menggeletar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Betong, di sini, semalam.

Sakinah berkata, selepas itu dia menjalani pembedahan membuang tumor di HSB sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, sejak itu dia menjalani rawatan kimoterapi 12 kali di HPP menyebabkan dia tidak dapat meneruskan persekolahan.

Disebabkan itu katanya, dia turut menjalani rawatan radioterapi di HPP sebanyak 10 kali dan meneruskan rawatan susulan dengan doktor sehingga kini.

"Saya tidak terima bantuan bulanan dari mana-mana pihak dan hanya mengharap belas ihsan abang yang bekerja kilang untuk membawa saya ulang- alik ke Pulau Pinang.

"Kanser dialami ini menyebabkan saya sedih namun saya bersyukur kerana emak, Siti Zabedah Omar, 60, banyak memberi semangat," katanya.

Sakinah berkata, dia dimaklumkan kanser sudah merebak ke paru-parunya apabila ada ketulan baharu dikesan di bahagian itu.

Orang ramai yang ingin membantu Sakinah boleh menghubunginya di talian 019-4634782.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi pesakit itu kelmarin turut menyampaikan sumbangan telekung, barangan keperluan makanan harian serta susu khas dan wang tunai dari CSM bagi membantu meringankan bebannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 7:01 AM