NURAISHAH  membantu membetulkan alat percakapan di leher abangnya, Abdul Halim  yang menghidap  kanser pangkal hidung. FOTO Fathil Asri
NURAISHAH membantu membetulkan alat percakapan di leher abangnya, Abdul Halim yang menghidap kanser pangkal hidung. FOTO Fathil Asri
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Hasrat penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi guru terbantut apabila disahkan menghidap kanser pangkal hidung.

Abdul Halim Mat Hassan, 25, yang juga pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Warisan Sastera disahkan menghidap kanser pangkal hidung pada Disember 2017.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu sepatutnya menjalani latihan industri di UMK Januari tahun lalu sebelum menamatkan pengajian, namun menangguhkannya akibat penyakit dialami.

Selepas setahun menjalani rawatan, separuh muka bahagian kiri kini kebas dan mata kirinya juga tidak berfungsi hingga melayakkan Abdul Halim mendapat kad orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Abdul Halim berkata, kesihatannya sebelum ini sihat dan tidak menyangka dia diuji dengan penyakit kanser pangkal hidung yang kini berada pada tahap tiga.

“Saya tidak tahu apa punca dan doktor turut memaklumkan faktor resdung juga boleh menyumbang kepada kanser pangkal hidung.

“Sebaik disahkan menghidap kanser, saya tangguh pengajian demi menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi. Alhamdulillah, saya berjaya harungi dua rawatan berkenaan.

“Namun, kesan daripada radioterapi menyebabkan saluran pernafasan sempit dan kini menjalani pembedahan di leher memasukkan tiub,” katanya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), semalam.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Abdul Halim di 030450223587131.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:57 AM