Muhammad Alif Zikri ditemani  ibu dan bapanya dalam program larian amal.
Muhammad Alif Zikri ditemani ibu dan bapanya dalam program larian amal.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Petaling Jaya: Usianya baru 10 tahun, tetapi kanak-kanak ini mempunyai pengalaman getir bukan saja bertarung nyawa melawan penyakit kanser buah pinggang tahap tiga dihidapinya, malah menahan kesakitan semasa menjalani 32 kali rawatan kimoterapi dan sembilan kali rawatan radioterapi.

Itu penderitaan selama dua tahun yang terpaksa ditempuh Muhammad Alif Zikri Marzuki, 10, dari Kajang, Selangor untuk pulih daripada penyakit berkenaan dan kini meneruskan kehidupan hanya bergantung dengan satu buah pinggang.

Ibunya, Yong Noor Hazidah Halim, 36, berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur ekoran masalah kencing berdarah dialaminya.

“Berita itu (anak sakit buah pinggang tahap tiga) umpama halilintar yang meranapkan kebahagiaan, sekali gus memusnahkan kehidupan saya.

“Pada mulanya sukar terima dugaan ini apabila satu-satunya anak tunggal menghidap penyakit berbahaya yang boleh meragut nyawanya bila-bila masa. Lebih-lebih lagi ketika itu usianya baru lima tahun,” katanya ketika ditemui pada program Larian Amal Relay For Life Kuala Lumpur 2016 di Dataran Petaling Jaya, di sini semalam.

Program anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu dirasmikan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang dihadiri 500 bekas pesakit kanser seluruh negara.

Kakitangan kerajaan itu berkata, pembedahan membuang buah pinggang kiri anak terpaksa dilakukan bagi mengelakkan sel kanser merebak ke buah pinggang kanan serta menyelamatkan nyawa.

“Pada mulanya saya bimbang untuk membenarkan anak menjalani pembedahan itu disebabkan dia juga menghidap talasemia.

“Namun, saya sangat bersyukur kerana Allah memberikan keajaiban apabila pembedahan ini berjaya dan kini anak dapat menjalani kehidupan secara sihat serta sempurna seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan bagaimana anaknya menahan kesakitan kesan daripada rawatan kimoterapi dan radioterapi itu.

“Boleh dikatakan sepanjang hari anak menangis kerana menanggung kesakitan (kesan rawatan kimoterapi dan radioterapi).

“Saya pula seperti sudah kering air mata kerana kerap menangis kesedihan dan juga takut kehilangan anak,” katanya.

Yong Noor Hazidah berkata, walaupun kesihatan anak semakin baik, dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan segera membawanya ke hospital sekiranya Muhammad Alif Zikri demam.

Katanya lagi, dia sentiasa optimis dengan ujian itu dan menganggap ada hikmah yang Allah mahu berikan kepadanya sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:31 AM