Pelakon, Didi Alias, ketika majlis pengebumian Jenazah Allahyarham Badrul Muhayat di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pelakon, Didi Alias, ketika majlis pengebumian Jenazah Allahyarham Badrul Muhayat di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Didie Alias, 51, memaklumkan tidak mempunyai kekuatan untuk mengulas mengenai kematian rakan baiknya, Badrul Muhayat semalam. 

Menurutnya, dia terkejut dan tergamam menerima berita kematian Badrul Muhayat dan mulanya tidak mahu percaya apabila melihat berita kematian pelakon terbabit di media sosial. 

"Saya scroll di media sosial asyik-asyik terpampang muka dia. Saya terdiam dan mengigil serta terus hubungi Aida Aris untuk pengesahan tapi dia tak jawab panggilan. Lagilah saya panik. 

"Rupa-rupanya berita itu sahih tetapi saya masih lagi tak boleh nak terima sampai sekarang. Saya menangis teresak-esak kerana fikir tak dapat tatap wajahnya lagi apabila dengar dia nak dikebumikan di Johor. 

"Namun saya lega apabila dia dikebumikan di sini dan berpeluang mengiringi perjalanan terakhirnya," katanya di temui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, di sini, pagi tadi.

Didie berkata, mereka memang rapat dari awal pembabitan dalam industri dan kebelakangan ini Allahyarham Badrul sering mengikut dia berniaga termasuk di Sabah. 

"Saya seakan tak percaya dia terlebih dulu dijemput Ilahi. Saya baru saja berjumpa dengan dia sebab dia ada ikut saya berniaga di Kota Kinabalu, Sabah. 

"Saya menghadiri hari sukan anak bongsu saya semalam dan tak tengok sangat telefon. Lepas Zohor saya buka telefon dan nampak muka dia dulu.

"Saya kemudian dapat kesahihan dari pihak Melodi. Apa saja nombor kenalan yang ada dalam telefon, saya hubungi dalam situasi panik ini," katanya. 

Menurutnya, Badrul Muhayat adalah rakan baiknya dan bekas suaminya, arwah Ridzuan Hashim. 

"Alhamdulillah...dia dikebumikan di sini dapatlah saya hadir, dia juga nampak tenang sebab arwah seorang yang baik.

"Kali terakhir kami berjumpa semasa 

majlis persandingan anak saya, Muhammad Dhanial Mohd Ridzuan di Dewan Temu Jelatek, di sini pada 3 September lalu. 

"Pada majlis itu dia kenalkan isteri dia, Norhayati. Habis semua meja dia pusing dan tegur. Jumpa kawan-kawan lama, bergambar kenangan. Dia sangat peramah," katanya. 

Didie memaklumkan Allahyarham Badrul Muhayat adalah seorang sahabat yang disenangi ramai dan mereka adalah rakan seperjuangan yang saling membantu antara satu sama lain. 

"Kami melalui susah senang bersama kita zaman awal pembabitan kami dalam industri. Dia juga seorang yang sangat peramah, pergi mana pun senyum sahaja. Kalau berniaga dengan saya, semua orang dia tegur dan sapa.

"Dia tak ubah macam keluarga, malah juga rakan-rakan yang hadir seperti Esma Daniel, Azhar Sulaiman dan Riezman Khuzaimi. 

"Semua ini sudah macam adik beradik, sebab kami rapat sama seperti apa yang Azri Iskandar dan Ellie Suriaty katakan," katanya.

Allahyarham Badrul Muhayat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di sini, pada jam kira-kira 9.45 pagi tadi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:48 PM