Karier seni Didie terjejas teruk selama setahun. FOTO ROSDAN WAHID
Karier seni Didie terjejas teruk selama setahun. FOTO ROSDAN WAHID
Norhayati Nordin


PELAKON dan pengacara, Didie Alias akui nama dan karier seninya terjejas teruk sepanjang tempoh setahun berhadapan isu saman ganti rugi difailkan terhadapnya sebelum ini.

Didie, 44 berkata reputasi karier dibina selama tiga dekad jatuh mendadak apabila ramai pihak hilang kepecayaan termasuk lebih awal menjatuh hukum pada dirinya sebagai pesalah.

"Kes saman yang difailkan itu memang memberikan impak besar pada nama dan karier saya kerana dalam sekelip mata saja nama terus digugurkan untuk mengacara satu program TV.

"Ketika itu, semua persediaan sudah saya buat untuk masuk ke set penggambaran, tetapi apakan daya saya dijatuhkan hukum lebih awal sebelum perbicaraan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Didie atau Fadzilah Mohamad berkata karier lakonannya turut terjejas kerana nama ditolak oleh stesen TV untuk membintangi drama.

"Saya mulanya keliru, selama ini tidak pernah bermasalah dengan stesen TV tetapi nama digugurkan kerana kes saman itu.

"Apapun, saya anggap ia dugaan daripada Allah SWT untuk ditempuhi dan syukur Alhamdulillah semuanya sudah selesai sekarang," katanya.

Sebelum ini, Didie berdepan tuntutan saman ganti rugi difailkan penerbit drama, Datuk Rafiena Ezanee Ramli dan produksinya, Dark Wave Pictures di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Zamri Idrus & Co pada 21 Mac 2017.

Pun begitu, pada 2 Oktober lalu, Didie menang saman berkenaan dan mahkamah memerintahkan Rafiena membayar kos sebanyak RM10,000.

Didie hadir bersama peguamnya, Azlan Abdul Razak pada sidang media terbuka dan majlis kesyukuran di Ampang, Selangor.

Katanya, dengan apa dilalui menjadi pengajaran bermakna buatnya dan akan lebih berhati-hati untuk berkerjasama dengan mana-mana produksi.

"Selama bergiat aktif dalam karier seni, saya tak pernah nak menganiaya dan mengaibkan orang. Jadi, dengan berakhirnya isu ini, nama saya bersih semula.

"Saya sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana terlepas juga daripada ujian berat menimpa diri ini," katanya.

Didie berkata selama dia berdepan isu itu, suami, anak-anak, keluarga dan kenalan rapat menguatkan semangatnya tabah menghadapi dugaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 6:57 PM