JAZMY dan Scha pelakon drama Nuh & Nayla
JAZMY dan Scha pelakon drama Nuh & Nayla
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Jazmy Juma enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan dia dan pelakon Scha Elinnea sedang menyulam cinta sejak membintangi drama bersiri Nuh & Nayla yang kini bersiaran di slot Akasia TV3.

Jazmy ketika dihubungi Harian Metro berkata, sepanjang tiga bulan menjalani penggambaran dengan pelakon itu, dia mengaku selesa dan seronok bekerja dengan Scha.

"Maaf tiada komen untuk soalan ini. Tapi saya dan Scha selesa berkawan.

"Walaupun kali pertama kami bergandingan dalam drama ini, tapi kami mudah mencipta keserasian di lokasi penggambaran.

"Scha juga mudah dibawa berbincang untuk menjayakan setiap babak Bersama," katanya.

Menurut Jazmy, dia mengaku ramai peminat mula bertanyakan mengenai hubungannya dengan Scha, namun mereka enggan membuka mulut.

"Saya nak fokus untuk perjalanan drama ini terlebih dahulu.

"Soal cinta saya tolak tepi. Saya nak bina nama sebagai pelakon.

"Saya perasan saja ada peminat yang mula bertanya mengenai hubungan kami berdua, tapi saya tiada jawapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 3:30 PM