Didie (kiri) cuba berbincang tetapi ditolak Rafiena. FOTO fail HM
Didie (kiri) cuba berbincang tetapi ditolak Rafiena. FOTO fail HM
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Didie Alias sedia berdepan saman penerbit drama Datuk Rafiena berhubung tiga tuntutan yang dikemukakan pada 21 Februari lalu.

Didie ketika ditemui berkata, dia sudah cuba untuk menyelesaikan perkara itu secara baik tetapi ditolak Rafiena.

"Saya berasakan apa yang berlaku bukan masalah besar dan boleh diselesaikan cara baik. Lagipun kami sudah bercakap dan berbincang mengenai perkara ini, tapi tak tahu kenapa ia dijadikan isu pula.

“Apabila dia mengemukakan tiga tuntutan itu, saya terima dengan terbuka. Saya berada di pihak yang benar, jadi tak ada apa yang perlu ditakutkan. Saya juga sudah menyerahkan perkara ini kepada peguam saya," katanya kepada Harian Metro.

Tiga tuntutan yang difailkan Rafiena antaranya kerugian, sikap tidak bertanggungjawab sebagai penerbit eksekutif serta trauma dan tekanan.

Isu ini timbul apabila Didie didakwa gagal menjalankan tugas sebagai penerbit eksekutif bagi drama Syurgaku Tak Sempurna yang kini bersiaran di saluran Hypp TV dengan baik.

Luahan hati itu dikongsikan Rafiena menerusi akaun Instagam miliknya beberapa minggu lalu sehingga ia menjadi tular.

Didie yang turut berlakon dalam drama bersiri 30 episod itu mendakwa wataknya terpaksa dimatikan selepas isu ini dibangkitkan.

Didie yang juga pelawak popular berkata, Rafiena tidak pernah menghubungi atau cuba berbincang dengannya selepas memfailkan tuntutan itu.

"Saya sudah lakukan sehabis baik mengikut skop kerja yang diberikan. Tapi mungkin disebabkan sedikit masalah kecil membuatkan proses kerja itu tak berjalan lancar.

“Saya tak kisah kerana siapa yang mengenali saya pasti lebih tahu bagaimana saya bekerja. Saya tetap dengan pendirian tak bersalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 7:45 PM