Hafizal Harun
Hafizal Harun
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya : Adik angkat Allahyarham Bad Indigo, Hafizal Harun, 42, dijaga oleh Allahyarham seperti adik kandungnya sejak 1999.

Hafizal berkata, Bad juga tidak banyak berkongsi mengenai keadaan kesihatannya.

"Jasa dia memang tak terkira. Dia tak ada adik-beradik lelaki, jadi saya dilayan seperti adik kandungnya. Dari dulu sampai sekarang, dia memang benar-benar menjaga saya.

"Beberapa hari terakhir ini, dia tak ada maklumkan mengenai sakit atau apa. Saya kenal arwah sejak 1999 dan saya tahu dia orang yang sangat kuat.

"Akhir-akhir ini, bila saya tanya mengenai keadaan kesihatannya pun, dia maklumkan, dia masih okay," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hafizal lagi, Bad juga sentiasa bersikap positif walaupun diduga dengan penyakit kronik.

"Dia pegang dengan kata-katanya yang tak mahu menyusahkan orang. Kalau pergi ke rumah dia pun, bila saya nak tolong apa-apa, dia akan kata tak mengapa. Tapi, saya tahu bagaimana dia berjuang dengan apa yang dialami dan tak semua orang tahu.

"Selalunya, kita berjumpa dengan dia untuk berikan semangat. Tapi, sebaliknya yang berlaku sebab dia yang akan lebih bersemangat.

"Apa saja keadaan yang dia alami, kekuatan dan kepercayaan dia hanya kepada Allah. Dia serahkan bulat-bulat kepada Allah. Susah untuk kita orang yang sihat, dapat jadi seperti dia.

"Kadang-kadang, Allah uji kita dengan sedikit ujian pun, kita dah banyak mengeluh. Dia pula ubah perkataan OKU itu jadi perkataan yang istimewa. Dia cakap, dia tak rasa tertekan pun sebagai OKU, sebaliknya rasa ada kelebihan yang Allah bagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 6:03 PM