Pelakon, Syanie. Foto Aziah Azmee
Pelakon, Syanie. Foto Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Syanie Hisham, 50, mendedahkan tawaran berlakon untuknya semakin berkurangan kebelakangan ini sejak tampil bertudung.

Syanie yang memilih berhijab serentak dengan tarikh perkahwinan kali ketiga dengan Zahril Hafiz Mohammed Nor pada 19 Februari 2021 berkata, dia bagaimanapun positif menganggap itu semua ketentuan Allah. "Tawaran berlakon memang dah kurang dan kalau ada pun hanya satu, dua sahaja sekarang. Saya percaya ia berbalik kepada rezeki.

"Saya tak kesal dan tak kisah pun. Ikutkan saya dah berada dalam industri ini pun lebih kurang 30 tahun. Mungkin orang hendak tengok muka lain, jadi, saya berikan peluang kepada mereka.

"Memang peminat tertanya-tanya juga kerana bagi mereka sentuhan pelakon lama dan baharu lain. Tapi, saya cakap mereka kena faham permintaan stesen televisyen yang mahukan orang baharu," katanya ditemui pada program Infaq Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) baru-baru ini.

Syanie terbabit dalam lakonan sejak era 1990'an dan antara filem-filem lakonannya ialah XX Ray (1992), Senario The Movie (1999), MX3 (2003), Buli Balik (2006) dan Kembar Siang (2011).

Dia yang kini mengusahakan perniagaan bersama suami menerusi GTAS, turut aktif sebagai exco GTAS dan membantu mengendalikan program berbentuk kebajikan penggiat seni dan golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim.

Syanie kini tampil menerusi drama bersiri Budak Flat terbitan Skop Productions yang sedang ditayangkan di platform penstriman.

"Kalau sesiapa tengok cerita itu, watak saya memang berbeza dari apa yang mereka tengok sebelum ini. Dalam cerita itu, saya jadi seorang ibu.

"Ada babak saya menangis dan ada babak anak saya meninggal serta saya nak bunuh diri. Benda yang orang tak pernah jangka dan peminat yang tengok mesej saya kata bagus dan amat berbeza.

"Kalau peluang diberikan oleh penerbit-penerbit lain, insya-Allah saya boleh bawa. Janganlah 'stereotaip' pelakon badan besar hanya boleh melakonkan watak komedi sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 2:49 PM