Kuala Lumpur: Penyanyi, Ashira Aziz mendoakan agar suaminya, Bad Indigo terus kuat selepas diduga dengan penyakit kencing manis kronik sehingga menyebabkan semua jari kaki sebelah kirinya dipotong.

Dalam hantaran dibuat Ashira di Instagram, penyanyi lagu Di Ombak Resah itu reda dengan setiap perancangan yang sudah ditetapkan Allah untuk kedua-dua mereka.

"Hidup kita mungkin tidak seperti yang kita rancangkan. Tapi, ia berjalan seperti mana yang sudah Allah tetapkan.

"Apa pun, Allah adalah sebaik-baik pengatur dan perancang. Jadi, kita teruskan berdoa. Semoga diberikan kesembuhan sepenuhnya, panjang umur, diperluaskan pintu rezeki, bahagia dunia akhirat," tulisnya.

Menutup tulisannya dalam ruangan keterangan, Ashira mengucapkan rasa cinta kepada suaminya.

"Sayang kamu," tulisnya.

Ashira juga memuat naik gambar suaminya ketika majlis akad nikah mereka, lengkap berbaju Melayu warna putih.

Gambar itu juga ditulis dengan doa daripadanya buat suami.

"Ya Allah. Jagalah dia. Kuatlah hati dan fikirannya, tubuh dan jiwanya. Permudahkan segala urusannya seperti yang Engkau mahukan. Amin," tulisnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdulah mengakui dia memerlukan wang yang banyak untuk proses rawatan selepas semua jari kaki sebelah kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis kronik itu, pada September lalu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 11:21 AM