Ning Baizura.
Ning Baizura.

Kuala Lumpur: Penyanyi Ning Baizura, 49, tidak berniat mempersendakan situasi atau tempat disebut Rafah dalam sesi siaran langsungnya di media sosial yang tular baru-baru ini.

Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah berkata, dia perlu tampil bersuara mengenainya dan menjelaskan bahawa sesi itu disalah faham oleh segelintir pihak sekali gus 'memanaskan' keadaan.

"Memandangkan sekarang saya sedang tular, saya fikir tidak patut hanya berdiam. Saya akui perlukan masa untuk berfikir mengenai apa yang berlaku. Niat saya pada sesi 'IG Live' yang juga sesi karaoke bersama peminat pada hari itu, hanya mahu menghibur dan mengenali dengan lebih rapat peminat saya.

"Jika anda ada peluang untuk tonton keseluruhan video itu, mungkin anda tahu apa yang berlaku. Saya ada kongsikan video itu di IG (Instagram) saya. Anda boleh tengok sendiri, apa yang sebenarnya terjadi.

"Pada masa sama, peminat meminta lagu-lagu untuk dinyanyikan dan saya juga baca komen serta sedang bercakap mengenai nama. Kenapa nama awak susah sangat, ada tak nama senang untuk saya panggil?

"Ketika itu, ada suatu komen keluar dan saya beri reaksi sebegitu. Saya sebut 'who's that' (siapa itu) bukan 'what's that' (apa itu). Saya tidak bermaksud untuk mempersendakan situasi atau tempat," katanya.

Penyanyi Awan Yang Terpilu itu juga sangat mengambil berat mengenai pergolakan perang yang berlaku di Palestin dan tiada langsung niat mahu menyakiti mana-mana pihak.

"Saya fikir perkara kecil ini jadi tular tanpa tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada pihak saya. Sangat mudah untuk orang lain sunting dan potong video itu hingga tular. Saya tidak berniat sakiti sesiapa pun.

"Saya tahu apa yang sedang berlaku di Palestin dan saya juga sudah banyak menyumbang. Tetapi apabila kita buat benda amal ini, tidak perlulah kita hendak uar-uarkan sangat.

"Benda itu semua datang daripada hati. Saya ada lakukan sesuatu bersama Dee Jangan Ketawa pada Ramadan lalu iaitu sumbangan kepada tabung Gaza dan beberapa lagi bersama rakan-rakan 'designer'.

"Jadi, saya di sini bukan nak menyatakan saya bantu sumbang kepada tabung Palestin, tetapi kita sebagai manusia, ada hak untuk melihat sesuatu perkara bagi kedua-dua belah (pihak). Kita harus lihat dan selidik dahulu sebelum kita mengatakan benda yang tidak baik," katanya.

Ning juga bagaimanapun berterima kasih dan bersyukur ada segelintir peminatnya tampil bersuara dan memberikan sokongan moral kepadanya. Walaupun terima banyak komen buruk, dia sebaiknya enggan cepat melatah.

"Ada juga pengikut yang mengeluarkan macam-macam perkataan tidak baik dan tidak sedap untuk didengari ibu dan anak saya. Ia boleh saya katakan sebagai mengarut.

"Jadi, kalau ada pihak yang salah faham dan tidak menonton keseluruhan IG Live saya, ia hanyalah mengenai muzik saya, bakat dan tiada berkaitan langsung dengan apa yang berlaku di sekitar dunia.

"Disebabkan itu, saya fikir kita tidak perlulah melatah terlalu awal dan menghukum seseorang atas sesuatu yang anda tidak tahu cerita sebenarnya. Bagaimanapun, terpulang untuk anda fikir apa, asalkan jangan tutup periuk nasi saya. Sebab, saya masih hendak cari kerja," katanya.

Terdahulu, nama Ning menjadi tular apabila sedutan videonya membaca komen pengikut yang menulis 'All Eyes on Rafah' jadi perbualan. Dia (Ning) disifatkan kurang peka dengan situasi getir itu.

"All eyes on Rafah... Who's that?" katanya ketika membaca komen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 1:40 PM