Ashira ketika bersama Allahyarham Bad.
Ashira ketika bersama Allahyarham Bad.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Bekas isteri Allahyarham Bad Indigo iaitu Ashira Aziz hanya mendapat tahu berita kematian malam ini daripada rakan media.

Ashira yang juga penyanyi ketika dihubungi berkata, perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya adakah Bad terbabit dalam kemalangan.

Katanya, dia kemudian menghubungi penyanyi, Liza Hanim yang juga isteri anggota Indigo, Shah bagi mendapatkan kepastian.

"Kak Liza maklumkan pemergiannya berkaitan dengan serangan jantung. Saya memang terkejut sampai tak terkata apa-apa.

"Saya nampak video-video dimuat naik Bad di media sosial beberapa hari lalu dan dia kelihatan sihat dan gembira. Badan dia pun dah tak kurus sangat dan saya pun gembira tengok keadaan dia," katanya kepada Harian Metro.

Bad Indigo atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah meninggal dunia pada usia 48 tahun di tempat kerjanya kira-kira jam 7 malam, hari ini.

Menurut rakan sekerjanya, Bad dikatakan mengalami hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah. 

Dalam pada itu, Ashira berkata, dia sudah lama tidak berhubung dengan Bad.

"Kami dah lama juga tak berhubung. Namun, saya ada menziarahinya di tempat kerja. Tak ingat bulan berapa. Waktu itu kami memang dah bercerai.

"Kemudian, ada juga kami bertanya khabar melalui telefon. Tapi, dah lama juga dia senyap. Dengan keluarga dia pun saya dah tak ada hubungi. Tapi, tadi saya ada hubungi kakaknya dan ucapkan takziah," katanya.

Bad dan Ashira mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 selepas mereka sama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh.

Pasangan itu kemudiannya mengumumkan mereka sudah bercerai secara damai menerusi satu hantaran video pada 23 Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 10:43 PM