ZAM
ZAM
Syafil Syazwan Jefri

Petaling Jaya: Anggota kumpulan Indigo, Zam, 48, menggambarkan Allahyarham Bad yang meninggal dunia malam semalam umpama keluarga buatnya.

Zam atau nama sebenarnya Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata, Bad adalah individu pertama yang dikenalinya selepas berhijrah dari Johor ke Kuala Lumpur.

"Arwah bukan saja seorang kawan, tapi saudara kepada saya. Arwah seorang sahabat yang baik. Saya berasal dari Johor dan dia adalah orang pertama yang saya kenal di Kuala Lumpur.

"Terlalu banyak kalau saya hendak cakap dan saya tak boleh habiskan cerita mengenai kebaikan yang arwah sudah lakukan. Kenangan dengan arwah sangat banyak," katanya.

Zam ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz, di sini, berkata, pemergian Bad juga sangat mudah.

"Saya reda sebab ini adalah ketentuan Allah. Apa saja perkara yang dirancang bersama arwah, kalau selesai alhmadulillah. Tapi kalau tak dapat selesaikan, itulah ketentuan-Nya.

"Saya bersyukur kerana pada penilaian saya, arwah pergi dengan mudah, dalam keadaan dan hari yang baik. Allah berikan arwah kemudahan," katanya.

Menurut Zam, dia juga tidak tahu banyak maklumat mengenai keadaan kesihatan Bad kerana dia juga tidak banyak berkongsi mengenai penyakitnya.

"Saya jumpa sebulan atau dua bulan sekali. Jadi, mungkin tak perasan sangat ada perubahan pada diri arwah. Kalau ada pun mungkin saya tak anggap pelik atau ia adalah petanda.

"Arwah sangat positif. Apabila tanya apa-apa dia hanya akan zahirkan keredaan atas apa yang Allah bagi dan bersyukur sebab Allah hendak mengingatkannya," katanya.

Zam dan Bad bersama-sama menganggotai kumpulan Indigo di samping dua anggota lain iaitu Shah dan Shaz sejak tahun 1996 hingga 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 2:36 PM