Shakilla bersama anaknya, Ameena Sofia
Shakilla bersama anaknya, Ameena Sofia

Kuala Lumpur : Pelakon yang juga bekas isteri penyampai radio, Fizi Ali, Shakilla Khoriri tidak tahu-menahu bekas suaminya itu melangsungkan pernikahan, kelmarin.

Shakilla dalam satu hantaran di TikTok berkata, sebelum melangsungkan pernikahan, Fizi ada datang ke rumah dan mereka bersembang panjang dan berbincang mengenai anak.

Dalam hantaran itu, Shakilla turut menegaskan supaya netizen tidak membuat andaian sendiri tanpa mendengar cerita penuh daripada pihaknya.

"Saya pun agak terkejut juga, tiba-tiba jadi majlis nikah. Malam semalam (sebelum majlis nikah), dia ada datang ke rumah dan ada bersembang panjang, berbincang mengenai anak.

"Tapi, dia tak ada cakap pasal dia nak bernikah. Dia cakap, nak ambil anak untuk bawa ke taman tema air. Saya tak tahu pula aktiviti pergi taman tema air dengan anak berubah menjadi majlis nikah," katanya.

Katanya, Fizi seharusnya berterus terang kerana dia sendiri tidak ada sebarang isu sekiranya Fizi ingin melangsungkan pernikahan.

"Saya pun tak tahu nak fikir bagaimana atau komen apa. Sebagai bapa kepada anak yang saya kandungkan, dia sepatutnya terus terang dengan saya.

"Saya tak ada isu dia nak bernikah atau apa. Tapi, saya tak tahu nak cakap macam mana bila orang tanya saya. Saya pernah tanya dia dan dia cakap, 'Soon' (nanti). Saya tak tahu dia bernikah dan tak ada ucapan apa-apa.

"Saya pun tak berani cakap lebih-lebih. Kalau cakap lebih-lebih nanti, orang salah faham dan cakap cakap saya tak 'move on' dan macam-macam lagi. Tak apalah.

"Doakan saja yang baik-baik untuk dia dan pasangan. Semoga dia bertenang, berbahagia dan tak ada isu apa-apa lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 3:58 PM