Shakilla Khoriri
Shakilla Khoriri
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Tiada apa nak saya jawab. Kes saya sudah lama selesai. Saya pun tak tahu siapa yang dimaksudkan dalam berita itu. Tak ada sebut nama saya."

Demikian ulas pelakon Shakilla Khoriri apabila namanya dipetik warga maya susulan khabar angin baru-baru ini mengenai aktres berstatus janda berjaya 'menyondol' suami orang.

Shakilla ketika dihubungi Harian Metro bagaimanapun menganggap gosip berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan dirinya memandangkan kontroversi yang melandanya sebelum ini sudah berakhir.

"Tak ada orang datang atau menelefon saya berhubung mana-mana artikel, jadi saya anggap apa yang tular itu tidak ada kena mengena dengan saya.

"Tidak apa lah kalau netizen nak petik nama saya. Tiada kesan apa pun pada saya dan keluarga. Jadi biarlah," katanya.

Shakilla turut memberitahu dia tidak kisah namanya dipetik oleh netizen kerana tidak memberi impak kepada dirinya dan juga keluarga.

Dalam pada itu, bekas isteri kepada penyampai radio Fizi Ali ini berkata dia kini sedang dengan urusan kerja selain menjalani kehidupan bahagia bersama anak perempuannya.

"Saya tengah sibuk dengan kerja dan tengah bahagia dengan anak serta keluarga.Tiada masa nak tahu pasal orang bercakap pasal saya ke apa.

"Apatah lagi, apabila perkara yang tiada kena mengena dengan saya, lagi saya abaikan begitu saja," katanya.

Terdahulu, kecoh di laman sosial apabila seorang pelakon berstatus janda didakwa menjadi penyebab kehancuran rumah tangga pasangan suami isteri.

Bertambah parah lagi, apabila si isteri didakwa telah pergi ke mahkamah untuk menfailkan perceraian terhadap suaminya.

Shakilla sebelum ini pernah mengakui gambar bersama seorang lelaki dirakam pada Ogos dan September tahun lalu namun menegaskan individu itu bukanlah suami orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 2:13 PM