SHAKILLA Khoriri. FOTO Osman Adnan
SHAKILLA Khoriri. FOTO Osman Adnan
Norhayati Nordin


Selepas mengikat pertunangan tahun lalu, kini pelakon Shakilla Khoriri, 29, menghitung hari untuk bergelar raja sehari.

Shakilla atau Nurul Shakilla Mohd Khoriri akan bernikah dengan pasangannya yang juga penyampai radio Suria FM, Fizi Ali pada 18 Februari ini.

Berkongsi perasaannya, bakal pengantin ini tidak berdebar menanti majlis pernikahannya sebaliknya lebih resah memikirkan tanggungjawab yang akan digalas selepas bergelar isteri orang nanti.

“Apabila sudah bernikah, kita akan menggalas tanggungjawab besar dan ia tidak boleh diambil mudah.

“Apapun, saya dan Fizi sudah sepakat untuk berusaha melakukan yang terbaik demi kebahagiaan bersama,” katanya.

Mengulas persiapan hari bahagia, Shakilla berkata dia agak terkejar-kejar kerana terikat dengan penggambaran drama.

“Pantang ada masa terluang saya akan buat persiapan untuk majlis pernikahan tidak lama lagi.

“Saya tahu memang banyak urusan perlu diuruskan berkaitan perkahwinan terutama persiapan. Saya dan Fizi saling membantu.

“Setakat ini semua urusan lancar,” katanya yang akan kembali ke lokasi penggambaran selepas tiga hari melangsungkan pernikahan.

Berkongsi perancangan selepas mendirikan rumah tangga, Shakilla berkata dia dan Fizi sudah memikirkan beberapa perkara utama untuk dilakukan.

“Kami mahu meningkatkan usaha bagi stabilkan karier masing-masing. Saya sebagai pelakon dan Fizi pula di arena penyiaran radio.

“Penting untuk kami sebagai pasangan suami dan isteri yang baru berkahwin memantapkan sumber pendapatan.

“Kami sedia maklum kos sara hidup agak tinggi terutama jika menetap di ibu kota,” katanya.

Beralih perkembangan karier lakonan, Shakilla berkata dia perlu menyiapkan dua penggambaran drama serentak iaitu Geng Tadarus untuk siaran RTM pada Ramadan nanti dan #MakmumYangPalingAkuSayang untuk HyppTV.

Walaupun sedar dirinya kurang mendapat publisiti, Shakilla selesa dengan keadaan itu.

“Saya tak berkecil hati sebaliknya bersyukur kerana tawaran berlakon tak pernah putus.

“Saya bekerja sebagai pelakon sepenuh masa, jadi tawaran berlakon sangat penting untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 3:08 AM