AIDIL (kanan) mengumpan kepada Noraizat ketika menentang Jepun, semalam. FOTO BERNAMA
AIDIL (kanan) mengumpan kepada Noraizat ketika menentang Jepun, semalam. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua pasukan double negara, Aidil Aiman Zawawi tidak melihat taktik 'jahat' Thailand memanggil semula Seksan Tubthong untuk bermain acara berkenaan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sebagai halangan buat Malaysia menampilkan aksi terbaik.

Jelasnya, biarpun Seksan pernah bersama Malaysia beberapa bulan sebagai perunding khas, itu bukan halangan dan semuanya akan terjawab apabila mereka bertemu di dalam gelanggang nanti.

Kata Aidil, dia dan pasangannya, Noraizat Mohd Nordin akan bermain serta menampilkan prestasi terbaik, sekali gus memberi kemenangan kepada penyokong yang hadir di Stadium Titiwangsa.

"Tiada apa-apa masalah, kalau kita lawan dengan Seksan (double Thailand), kami cuba keluarkan semuanya (taktikal) yang kami ada ketika bertemu mereka nanti," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengambil inisiatif memanggil Seksan untuk membantu dan menurunkan ilmu kepada pasukan double negara dan diberikan kontrak selama tiga bulan.

Melihat situasi itu, Thailand yang melakukan rombakan pemain bagi menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2024 itu membuat kejutan memanggil semula bekas pemain berkenaan untuk memperkuatkan pasukan meskipun dia masih berbaki kontrak bersama skuad negara.

Mengulas mengenai prestasi semasa, Aidil berkata, dia dan Noraizat semakin mendapat momentum permainan meskipun lambat panas pada awal set pertama menentang Jepun, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:39 PM