Yana Samsudin.
Yana Samsudin.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Yana Samsudin, 39, mengalami alahan teruk pada kehamilan ketiga ini sehingga terpaksa beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Yana yang kini hamil anak ketiga dengan usia kandungan enam bulan berkata, dia mengalami alahan yang sangat teruk hingga susah nak bangun dan terpaksa baring saja siang dan malam di katil hospital.

"Nak makan pun tak lalu sangat. Sampai banyak kali juga keluar dan masuk hospital. Banyak kali kena masuk air dalam badan dan masukkan vitamin juga.

"Sehingga usia kandungan mencecah lima bulan baru okay sikit. Pada masa sama, saya juga diuji dengan demam Influenza A, ketika kandungan berusia lima bulan," katanya yang dijangka akan melahirkan anak ketiganya itu dengan kaedah pembedahan awal tahun depan.

Menurut Yana, doktor juga tidak galakkan untuk bersalin secara normal sudah dua kali dia melalui kaedah pembedahan sebelum ini.

Dalam pada itu, Yana berkata, dia tiada niat untuk menyembunyikan kehamilan ketiganya yang kini sudah berusia enam bulan itu tetapi lebih selesa untuk tidak menghebahkan kepada orang ramai.

"Sebelum ini, ketika saya hamil anak yang pertama dan kedua, suami yang umumkan, tapi yang ketiga ini saya tak umumkan pun.

"Namun, saya tidak boleh nak sorok perut yang semakin membesar ini. Kalau ada yang bertanya selepas ini, saya memang akan beritahu mengenai kehamilan ini," katanya.

Mengenai kehamilannya itu, kata isteri pelakon dan penerbit, Fadzil Zahari ini, dia hanya berkongsi berita kehamilannya itu apabila usia kandungan sudah mencecah tujuh hingga lapan bulan pada kehamilan pertama dan kedua sebelum ini.

"Bagi saya, kalau masih lagi dalam tempoh awal kehamilan tidak beritahu pada orang pun okay lagi.

Maklumlah, saya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali," katanya.

Mengenai jantina, Yana dan suami masih belum tahu tetapi mereka tidak kisah sama ada bayi perempuan atau lelaki. Mereka juga sudah ada sepasang anak lelaki dan perempuan.

Yana yang berkahwin dengan Fadzil pada Februari 2015 memiliki dua anak iaitu Aisy Mateen, 7, dan Aura Aisy Sofea, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 9:22 AM