Siti Sairah pernah mengalami keguguran dua kali pada awal tahun ini.
Siti Sairah pernah mengalami keguguran dua kali pada awal tahun ini.
Najiy Jefri


Shah Alam: Peserta program realiti Famili Duo, Siti Nursairah Tarudin mengumumkan dirinya hamil anak kelima.

Siti Sairah berkata, dia masih belum mengetahui usia kehamilannya kerana belum berjumpa doktor.

"Saya baru dapat tahu hamil minggu lepas. Saya tak dapat kongsikan usia kehamilan ini kerana belum berjumpa doktor.

"Saya sudah dapat rasakan saya hamil dan ada kongsikan kepada suami dan kakak, Siti Saida. Tanpa fikir panjang saya pun lakukan ujian kehamilan dan Alhamdulillah keputusannya positif.

"Saya dan suami terima dengan hati terbuka atas rezeki ini. Saya juga sudah mula alami alahan dan berharap kehamilan ini kuat," katanya.

Menurut adik kepada penyanyi ternama, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu, dia mengaku pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali pada awal tahun ini.

"Saya akui risau dengan keadaan diri saya kerana kandungan masih baru.

"Sebelum ini doktor memang sudah minta saya untuk menjaga diri sekiranya disahkan hamil memandangkan pernah mengalami keguguran dua kali," katanya.

Terdahulu, Sairah dan suami, Mohd Sharidan Johari, 35, mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Siti Nurkhalishah Alisha.

Menerusi perkahwinan pertama, Sairah dikurniakan tiga anak iaitu Ummi Umairah, Ahmad Daiyan dan Ahmad Aisy.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 2:47 PM