JIHAN mengandung enam bulan.
JIHAN mengandung enam bulan.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pengacara Jihan Muse berkongsi dirinya kini sedang mengandung enam bulan namun memilih untuk tidak berkongsi berita itu ketika awal kehamilan mengikut nasihat keluarganya.

Jihan atau pemilik nama penuh, Nur Jihan Musa, 39, mengetahui mengenai kehamilannya selepas melakukan ujian saringan Covid-19 untuk bertugas sebagai pengacara Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) yang sepatutnya diadakan pada Januari lalu.

"Bukan hendak berahsia, namun saya mengikut nasihat dan saranan daripada keluarga supaya tidak berkongsi berita kehamilan terlalu awal.

"Ini kerana kita belum pasti apa akan terjadi. Apatah lagi usia kandungan masih baru lagi. Malah, ketika itu saya sedang dijangkiti Covid-19 lagilah membuatkan saya tidak mahu berkongsi.

"Memandangkan ini adalah kehamilan anak kedua, saya sebenarnya malu nak umumkan sedang hamil," katanya.

Jihan berkongsi mengenai kehamilannya ketika ditemui selepas acara AME2021 yang berlangsung di Putrajaya,semalam.

Mengulas lanjut mengenai kehamilannya, Jihan hanya mengalami alahan teruk ketika trimester pertama.

Jihan juga memberitahu dia mengetahui jantina bayi dalam kandungan itu dan mahu menjadikan satu kejutan.

"Saya dan suami gembira serta bersyukur kerana kami memang mahukan anak lagi. Usia anak pertama juga sudah empat tahun. Jadi rasanya ini masa terbaik nak tambah anak.

"Tiga bulan pertama memang mabuk teruk. Disebabkan faktor usia juga saya sering rasa letih dalam tempoh hamil kali ini.

"Kemenangan di AME2021 saya anggap sebagai rezeki anak. Ini juga adalah tanda sokongan peminat yang banyak kali mahu saya menang," katanya.

Untuk rekod Jihan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ungku Hariz pada 20 Mac 2016 dan mereka sudah dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ungku Arsalan Haq, 4 tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 5:51 PM