Aniq Suhair
Aniq Suhair
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon, Aniq Suhair bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menuduhnya menghamilkan seorang wanita dan menggesa menggugurkan kandungan itu.

Aniq dalam satu kenyataan berkata, dia menyerahkan kepada peguamnya berhubung isu berkenaan dan menyifatkan tuduhan itu mencalar reputasinya.

"Saya sedia maklum dengan apa yang sedang tular di media sosial dalam beberapa hari ini. Saya juga ingin menyatakan bahawa dakwaan yang dilemparkan adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk merosakkan reputasi dan nama baik saya.

"Saya sudah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi hak dan menjaga nama baik saya dan keluarga, termasuklah memulakan tindakan saman.

"Atas nasihat peguam, saya tak dapat beri komen lanjut kerana ia akan menjejaskan proses undang-undang. Saya juga akan membuat laporan polis dalam masa terdekat. Terima kasih," katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, cubaan Harian Metro untuk mendapatkan komen Aniq berhubung isu itu tidak berjaya apabila tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila seorang wanita mendakwa hamil anak kepada seorang pelakon lelaki.

Dia turut mendakwa pelakon itu tidak mahu bertanggungjawab dan menggesa supaya kandungan itu digugurkan.

Nama Aniq menjadi perhatian apabila ada memberi bayangan pelaku adalah pelakon lelaki yang sedang dalam proses memperbaiki diri ke arah lebih baik.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan Aniq meminta sesiapa yang ada menyimpan gambar dia tidak menutup aurat supaya memadamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 5:41 PM