Nabil bersama isteri
Nabil bersama isteri
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara, Nabil Ahmad melihat perubahan ramai selebriti yang mula berhijrah ke arah kebaikan dan menutup aurat adalah sesuatu yang patut disyukuri.

Nabil berkata, dia juga bersyukur dengan perkembangan positif isterinya yang kini juga dalam proses untuk memperbaiki diri sebagai wanita Muslim.

"Tahniah dan saya bersyukur sangat apabila melihat perubahan ini. Saya tengok isteri saya berubah pun saya dah bersyukur.

"Saya doakan mereka terus istiqomah kerana ujian kita di akhir zaman ini lain macam. Kita takut Allah bagi hidayah dan Dia tarik balik," katanya kepada Harian Metro.

Salah satu langkah dan usaha isterinya, Nazirah Ayub untuk memperbaiki diri adalah dengan memadam gambar-gambarnya yang tidak menutup aurat di Instagram.

"Kelmarin, kami sibuk memadam gambar-gambar lama. Saya cakap, buanglah. Tak kisah kalau dia nak arkibkan atau apa, tapi padam dari tempat yang boleh dilihat. Ini kerana kita tak tahu, bila Allah nak ambil (nyawa). Bila Allah ambil sahabat-sahabat kita, saya rasa baik kita teruskan berada di jalan Allah setiap masa. Kita tak tahu, entah esok atau lusa, saya pula yang pergi," katanya.

Apa pun, berita mengenai beberapa rakan selebritinya yang mula menutup aurat mula tular beberapa hari ini begitu menggembirakannya.

"Selepas pemergian Sarah (Siti Sarah Raissuddin), ramai yang mula berubah ke arah yang lebih baik dan itu benar-benar menggembirakan. Mungkin pemergiannya menjadi asbab untuk perubahan ini. Ini yang kita tahu (artis-artis yang mula bertudung). Belum lagi orang-orang lain yang kita tak tahu. Semoga apa yang berlaku mengalirkan pahala buat Allahyarham," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 12:33 PM