Kuala lumpur: Empat lelaki ditahan di Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki melindungi dua suspek utama kes bunuh tiga warga Sri Lanka di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, minggu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, empat suspek terbabit merupakan rakan suspek utama yang terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang Pakistan.
Menurutnya, keseluruhannya lapan individu ditahan bagi membantu siasatan termasuk ibu bapa kepada seorang mangsa terbabit yang ditahan sejurus laporan diterima.
"Kita akan sambung reman terhadap kesemua suspek dan berharap dapat selesaikan siasatan dalam minggu ini.
"Keseluruhannya kita menahan lapan suspek termasuk empat individu di sebuah rumah sekitar Petaling Jaya kerana disyaki melindungi dua suspek utama," katanya selepas menyempurnakan program Back To School Ketua Polis Kuala Lumpur di Victoria Institution, di sini hari ini.
Allaudeen berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan pihak polis.
Mengulas berkenaan kematian seorang suspek ketika dalam tahanan kelmarin, beliau berkata, ia tidak menjejaskan siasatan pihak polis.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, mayat tiga lelaki Sri Lanka ditemui dalam keadaan bertindan, berbogel selain kaki dan tangan diikat dipercayai dibunuh.
Jeritan dipercayai daripada pergaduhan membawa kepada penemuan tiga mayat berkenaan selepas pihak polis menerima panggilan daripada orang awam.
Susulan itu dua suspek utama yang dikehendaki berhubung kejadian bunuh tiga warga Sri Lanka berkenaan ditahan ketika bersembunyi di dalam hutan sekitar Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.